Jual Emas Palsu


Polis Thailand memberkas enam lelaki warga China kerana menjual emas palsu kepada golongan kaya negara itu dalam kegiatan yang mengaut keuntungan lebih 10 juta baht (RM1.3 juta).

Suspek dilaporkan adalah bekas ahli kumpulan ‘scam’ atau pusat panggilan penipuan yang berpangkalan di Indonesia.

Kumpulan itu mengaku bahawa perbuatan jenayah yang dilakukan itu diinspirasikan daripada siri televisyen mengenai ‘scammer’.

Seorang mangsa melaporkan kepada polis bahawa dia telah didatangi oleh kumpulan dari China yang menawarkan untuk menjual emas kepadanya. Kumpulan itu mendakwa menemui emas tersebut di tapak bersejarah yang terletak di wilayah tengah Phra Nakhon Si Ayutthaya. 

Mangsa yang yakin dengan cerita itu kemudian membayar 500,000 baht (RM65,117) untuk emas itu tetapi kemudian mengetahui bahawa ia adalah emas palsu.

Selepas menjalankan siasatan, pihak berkuasa dapat mengesan dan menahan dua anggota kumpulan itu di Stesen Kereta Api Hua Lamphong di Bangkok kelmarin, sebelum membawa kepada penangkapan baki empat ahli kumpulan samseng di sebuah hotel mewah di Ratchada.

Pegawai polis merampas 179 jongkong emas palsu, 10 patung emas palsu, lapan helaian emas, 24 kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), 12 telefon bimbit dan gergaji.

Menurut polis, kumpulan itu mengumpulkan nama-nama warganegara Thailand berketurunan Cina yang kaya dan menggunakan kemahiran pusat panggilan penipuan mereka untuk menghubungi setiap orang bagi menawarkan emas. 

Jika mangsa menyatakan minat, mereka akan mengadakan pertemuan untuk membuktikan bahawa emas itu adalah benar. 
 

0/komen