Perisian Proba Angkasa Voyager 2 Diubahsuai


Proba angkasa Voyager 2 ialah objek buatan manusia yang paling jauh mengembara di angkasa lepas. Sejak dilancarkan pada tahun 1977, ia kini telah melepasi ruang angkasa najam dan dianggarkan kini sejauh 20 bilion km daripada bumi. Tahun lalu NASA berkata perisian Voyager 1 dan Voyager 2 telah diubah untuk mematikan beberapa instrumen sains bagi memanjangkan hayat operasi sehingga 2024.

Tetapi NASA kini berkata perisian Voyager 2 telah dikemaskini dan ia kini diramalkan boleh beroperasi sehingga 2026. Kuasa sandaran pada proba yang digunakan untuk mengelakkan lonjakan kuasa disalurkan kepada instrumen sains yang digunakan. Ini membolehkan proba terus mengumpul data saintifik untuk tempoh yang lebih lama.

Tetapi NASA berkata tindakan mereka ini mendatangkan risiko lonjakan elektrik pula berlaku. Namun begitu risiko tetap diambil kerana jika tidak dilakukan Voyager 2 akan berhenti beroperasi tahun hadapan.

Voyager 2 sudah beroperasi hampir 45 tahun dengan ia berjaya mengumpul pelbagai data saintifik yang berguna kepada manusia. Agak menakjubkan ia masih boleh meneruskan misi walaupun pada peringkat awal ia hanya ditugaskan untuk mengembara sehingga planet Musytari dan Zuhal dalam misi yang mengambil masa empat tahun.
 

0/komen