Takutkan Ayam Jiran Hingga Mati


Seorang lelaki di China dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas  didapati bersalah menakut-nakutkan 1,100 ayam peliharaan jirannya hingga mati setelah terlibat dalam pertikaian.

Dalam dua insiden berasingan, lelaki yang hanya dikenali sebagai Gu itu dilaporkan mula bertengkar dengan jirannya, Zhong, pada April tahun lepas.

Dia dikatakan berang apabila Zhong menebang pokok miliknya tanpa memberitahunya terlebih dahulu.

Meskipun matlamat Gu adalah tidak jelas, dia pada suatu malam menyelinap masuk ke kawasan hak milik Zhong dan menghalakan lampu suluh ke arah ayam-ayam di ladang ternakan jirannya itu.

Perbuatan itu menyebabkan kira-kira 500 ekor ayam lari bertempiaran dan merempuh serta memijak antara satu sama lain hingga mati.

Ekoran daripada kejadian itu, Gu ditahan polis dan diarahkan membayar ganti rugi sebanyak 3,000 yuan (RM1,923) kepada jirannya itu.

Pertikaian tersebut tidak tamat di situ kerana Gu menjadi semakin marah lalu kembali ke ladang milik Zhong dan mengulangi perbuatan serupa yang seterusnya mengakibatkan kematian 640 ayam yang lain.

Menurut pihak berkuasa China, kesemua 1,100 ayam yang mati itu dianggarkan bernilai sehingga 13,840 yuan (RM8,873).

Mahkamah di daerah Hengyang di wilayah Hunan akhirnya mensabitkan kesalahan ke atas Gu kerana menyelinap masuk ke kawasan hak milik orang lain.

Lelaki itu kemudiannya didapati bersalah kerana dengan sengaja menyebabkan kerugian hak milik dan di jatuhi hukuman penjara enam bulan dengan tempoh percubaan setahun
 

0/komen