Bersemadi Bersama Titanic


Hamish Harding (kiri atas), Stockton Rush (kanan atas), Paul-Henri Nargeolet (kiri bawah), Shahzada Dawood dan anaknya, Suleman (kanan bawah)

Lima penumpang dilaporkan terbunuh di lokasi kejadian apabila kapal selam Titan yang dinaiki mereka meletup dan runtuh dari dalam, pada jarak hanya 487 meter dari bangkai kapal Titanic di dasar Lautan Atlantik Utara, kata Pengawal Pantai Amerika Syarikat.

Misi pencarian lima penumpang kapal selam Titan yang dikendalikan oleh syarikat OceanGate Expeditions berakhir dengan penemuan serpihannya di dasar laut.

Anggota mencari dan menyelamat berkata, kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia Ahad lalu, sebelum pesawat tentera menggunakan sonar mengesan apa yang mereka sangkakan bunyi ‘hempasan’ di dalam air.

Mangsa ialah Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate Stockton Rush, pesara Tentera Laut Perancis Paul-Henri Nargeolet, bilionair Britain Hamish Harding, ahli perniagaan Pakistan Shahzada Dawood dan anak lelakinya Suleman yang berusia 19 tahun.

“Letupan itu sepatutnya menghasilkan bunyi bergema ketara yang akan dikesan oleh pelampung sonar,” jelas Laksamana Muda Pengawal Pantai, John Mauger.

Letupan sedemikian menyebabkan kematian di tempat kejadian. Semua penumpang Titan itu membayar yuran AS$250,000 (RM1.17 juta) setiap seorang untuk melihat kapal karam Titanic.

Ahli keluarga mangsa menerima berita yang menyayat hati itu dengan pihak berkuasa memaklumkan bahawa sukar untuk mencari mayat mereka. 
 

0/komen