Hanya Seberat 10 Kg


Ketika rakan sebayanya sudah melangkah menyambung pengajian ke menara gading, lain pula kisah seorang pemuda yang diuji menderita penyakit saraf sejak lima tahun lalu.

Kesihatan Muhammad Hafizuddin Ismail, 21, dari Kampung Lorong Haji Da, Batu Buruk, di sini merosot sejak terjatuh tangga di sekolahnya ketika berusia 12 tahun.

Anak bongsu dari lima beradik itu berkata, lima bulan selepas kejadian itu dia mengalami demam panas sehingga pergerakan tidak lagi seimbang.

"Punca kejadian saya tidak pasti tetapi ketika itu saya perasan ada yang menolak saya sehingga terjatuh dari tangga. Sebaik saya jatuh, saya tidak berasa sakit lagi.

"Agak lama juga selepas kejadian itu saya rasa berlaku perubahan pada diri saya. Saya tidak lagi boleh berjalan seperti biasa," luahnya.

Takdir Yang Maha Esa tiada siapa mampu menghalang, ibu yang sentiasa membelai Muhammad Hafizuddin dengan penuh kasih sayang, Khatijah Muhammad, 50-an, meninggal dunia akibat kanser payu dara empat tahun lalu.

"Saya hilang tempat bermanja. Dulu, waktu arwah mak masih ada dia yang uruskan saya. Sekarang selepas mak sudah tiada, saya bergantung sepenuhnya kepada ayah."

"Setiap minggu ayah saya bawa saya ke kubur mak. Saya akan berdoa semoga mak saya dimasukkan ke syurga. Saya rindukan mak. Kenapa mak begitu cepat tinggalkan saya," luah Muhammad Hafizuddin sambil menahan sebak.


Secara normal, berat badan pemuda itu antara 50 hingga 55 kilogram (kg), kesan penyakit yang dialaminya itu menyebabkan pembesarannya terbantut malah tulangnya menjadi rapuh menyebabkan bahagian kaki dan tangannya patah.

Mengimbau cita-cita dan impian ketika masih bersekolah, Muhammad Hafizuddin berkata, dia menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pemain bola sepak.

"Memang saya bercita-cita nak jadi pemain bola sepak suatu hari nanti. Malangnya hasrat itu tak kesampaian selepas saya mengalami penyakit ini. Saya hanya pasrah dan terus berharap untuk sembuh."

"Saya kini hanya berbaring, kadang-kadang saya gagahkan tangan untuk suap makan sendiri dan ayah saya banyak membantu."

"Saya tak boleh bergerak banyak sebab banyak bahagian badan yang sakit. Paling saya sakit ialah bahagian paha ke bawah,"ujarnya.

Musibah yang menimpa adik Hafizudin ini menyebabkan dia tidak dapat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2019 dan tidak dapat meneruskan pembelajaran.

Sementara itu, bapanya, Ismail Wahab, 63, yang merupakan pesara Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga dan menguruskan anaknya itu.

Ismail menyara hidup dengan bergantung sepenuhnya dari wang pencen sebanyak RM800 sebulan serta bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, kehidupan mereka sekali lagi diuji dengan kehilangan sumber pendapatan ketua keluarga.

"Duit pencen saya terpaksa gunakan untuk melunaskan hutang pinjaman bank saya yang dibuat ketika saya buka kedai makan selepas bersara empat tahun lepas."

"Nak dijadikan cerita, ketika itu musim Covid-19. Perniagaan saya tak sempat berkembang maju malah terpaksa ditutup sebab rugi banyak. Saya terus hilang punca pendapatan," katanya.

Menurut Ismail, Muhammad Hafizuddin kini tidak dihantar untuk mendapatkan mana-mana rawatan khusus kerana memerlukan perbelanjaan besar.

Jelasnya, secara keseluruhan, anggaran kos yang perlu di tanggung meliputi keperluan Muhamad Hafizuddin, perbelanjaan dapur dan perbelanjaan harian mencecah RM2,000 sebulan.

Mereka yang ingin membantu meringankan bebanan keluarga ini boleh menghubungi Ismail di talian 0109885731.
 

0/komen