Sebuah restoran ramen di Yunlin, Taiwan, menjadi perhatian ramai kerana memperkenalkan menu terbaharunya dinamakan Ramen Godzilla.
Ia merupakan hidangan mi ramen bersama kaki buaya yang dihidangkan dalam mangkuk.
Pelbagai hidangan ramen yang pelik mendapat sambutan di Taiwan baru-baru ini, antaranya ramen isopod serta ramen katak gergasi.
Pemilik restoran Witch Cat di Bandar Douliu berkata, idea untuk memperkenalkan menu ramen buaya itu datang selepas melihat populariti ramen isopod yang diterima di Taiwan.
Menurutnya, selepas belajar cara-cara memasak sup buaya ketika pergi di Thailand sebelum ini, dia mencipta resipi Ramen Godzilla menggunakan 40 rempah-ratus berbeza dan mula mempromosikannya secara online.
Menurut pemilik berkenaan, kaki buaya untuk memasak hidangan itu dibekalkan oleh sebuah ladang ternak buaya di Taitung.
Namun, ia hanya mampu membekalkan bahan mentah mencukupi untuk beberapa mangkuk ramen sehari, justeru, menu tersebut perlu ditempah lebih awal oleh pengunjung yang mahu menikmatinya.
Semangkuk Ramen Godzilla dijual pada harga NT$1,500 (RM225.6), namun mereka yang mahu memesan menu tersebut hanya untuk tujuan bergambar akan dikenakan bayaran NT$100 (RM15)
Catat Ulasan