Komputer Riba Yang Dibangunkan Khusus Untuk Para Pelajar

ASUS BR1402 ialah siri komputer riba baru yang memfokuskan terhadap para pelajar K-12 (tadika ke sekolah menengah yang memfokuskan terhadap para pelajar yang menghadapi persekolahan hibrid di rumah dan juga di sekolah.

Komputer riba ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 14 inci, dengan penggunaan palam USB Type-C untuk pengecasan dan penggunaan aksesori-aksesori lain dan juga rekabentuk berlainan bergantung kepada keperluan pengguna. Pengguna diberi pilihan menggunakan rekaan komputer riba biasa ataupun dengan paparan yang boleh dilipat 360 darjah untuk dijadikan sebuah tablet.

Dari segi spesifikasi, komputer riba ini dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel Core i3-N305 dengan pilihan memori dari 4GB sehingga 16GB dan storan dalaman yang termasuklah pilihan 128GB UFS sehinggalah SSD 512GB.

Rangka komputer riba ini juga dibangunkan dengan piawaian MIL-STD 810H yang mana ia hadir dengan bumper getah di bahagian sisi komputer riba ini, dan mempunyai papan kekunci yang tahan air, sesuai untuk kegunaan kanak-kanak pelbagai umur.

Dari segi sokongan palam, komputer riba ini juga tampil dengan satu palam USB 3.2 Type-C untuk pengecasan dan sambungan paparan, satu palam USB 2.0 Type-C, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 1.4, satu palam audio 3.5mm dan satu palam Ethernet.


ASUS juga mengatakan bahawa bateri 50Wh komputer riba BR1402 ini hadir dengan jangkahayat 10 jam dengan satu pengecasan penuh, dan ini dilihat cukup panjang untuk digunakan untuk satu sesi persekolahan penuh.

Buat masa ini ASUS masih belum mengesahkan lagi bilakah mereka akan mula menjual komputer riba ASUS BR1402 ini.

0/komen