Amerika Syarikat Menyimpan UFO Dan Mayat Makhluk Asing


“Kebenaran ada di luar sana” ialah moto ajen FBI Fox Mulder dalam siri The X-Files. Ia adalah fiksyen mengenai kewujudan fenomena ganjil seperti UFO (kini diberi nama baharu UAP), kriptid dan hantu. Kongres Amerika Syarikat diberitahu bahawa kewujudan Fenomena Udara Tidak Diketahui (UAP) sudah dirahsiakan oleh kerajaan menerusi beberapa agensi sejak 1930an lagi.

Mej (B) David Grusch yang dahulunya bertugas untuk Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) memberikan kenyataan bersumpah kepada jawatankuasa kecil kongres bahawa A.S turut menyimpan bangkai UAP yang terhempas bersama dengan mayat makhluk asing di dalamnya. Tambahan lagi, ia turut didakwa individu yang cuba mendedahkan rahsia ini diancam oleh agensi tertentu dengan wujud kes mereka dibunuh bagi menutup mulut.

Lebih mengejutkan Amerika Syarikat dikatakan telah menggunakan kejuruteraan berbalik bagi mendapatkan teknologi daripada bangkai UAP yang telah dikumpul. Dalam usaha tersebut, kematian juga dikatakan berlaku.

Minat mengenai UAP meningkat semula di A.S selepas insiden belon milik China ditembak jatuh USAF kerana didakwa melakukan aktiviti intipan. USAF mengeluarkan kenyataan tidak semua objek yang telah ditembak jatuh adalah belon dari China membuka spekulasi ia adalah pesawat bukan buatan manusia. Dalam jawatankuasa kecil yang sama, beberapa saksi turut melakukan kenyataan bersumpah melihat UAP ketika bertugas sebagai juruterbang USAF.



Pihak Pentagon telah pun mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Grusch. NASA telah memulakan kajian kewujudan UAP tahun lalu dengan laporan akhir akan diterbitkan dalam masa terdekat. Dalam laporan awal yang dikeluarkan ahli jawatankuasa mengatakan ramai saksi enggan memberikan kenyataan bersumpah kerana risau stigma negatif yang bakal diterima.


Fenomena UAP telah dilaporkan sejak dari zaman Yunani purba lagi dengan saintis mengatakan ia mungkin fenomena semula jadi seperti komet yang pada waktu tersebut belum difahami mereka. Adakah UAP dan makhluk asing benar-benar wujud? Kebenarannya masih di luar sana.

0/komen