Emel Tentera AS Dihantar Ke Alamat Emel Mali


Kesilapan ejaan ataupun lebih dikenali sebagai typo merupakan kesilapan yang sering diperlihatkan dimana-mana sahaja, tetapi secara lazimnya ia bukanlah sesuatu yang menyebabkan kesusahan yang besar.

Akan tetapi, dalam situasi ini ia mungkin agak berbeza dimana ia telah dilaporkan bahawa terdapat banyak kesilapan typo yang diperlihatkan oleh pihak tentera Amerika Syarikat dimana emel yang sepatutnya ditamatkan dengan penghujung domain .mil diakhiri oleh penghujung .ml.

Walaupun emel-emel ini tidak dihantar ke mana-mana individu kerana alamat yang tidak wujud, emel yang dihantar ini masih diterima oleh pihak kontraktor yang mengawal domain .ml tersebut, yang merupakan sebuah syarikat yang berpangkalan di Netherlands.

Ia dilihat sebagai suatu isu yang serius kerana emel-emel yang dihantar ini kadang-kala mengandungi dokumen-dokumen sulit seperti dokumen diplomatik, dokumen cukai, kata-kata laluan dan juga dokumen perjalanan pegawai-pegawai atasan dalam angkatan tentera tersebut.

Johannes Zuubier, seorang pekerja di syarikat yang mengawal domain .ml ini mengatakan bahawa beliau telah mengetahui tentang isu ini sejak 2014 dan telah cuba untuk mendapatkan perhatian pihak tentera Amerika Syarikat tentang ini, tetapi nampaknya dia tidak diendahkan.

Isu terbesar sekarang ini ialah syarikat yang mengawal domain .ml ini akan mengalihkan kawalan domain tersebut kepada kerajaan Mali tidak lama lagi, dan ini termasuklah emel-emel yang disimpan oleh syarikat tersebut.

Secara ringkasnya, ia akan menyebabkan isu ketirisan data terbesar dalam sejarah tentera Amerika Syarika, dan pelbagai butiran ini akan membolehkan mana-mana individu dengan data ini untuk membina rangkaian maklumat tentang individu penting didalam ketenteraan Amerika Syarikat dengan mudah.

Pihak tentera Amerika Syarikat sedar akan perkara begini, dan mengatakan bahawa kebarangkalian besar perkara ini berlaku kerana emel dihantar melalui alamat persendirian. Ini adalah kerana setiap emel yang dihantar keluar menggunakan alamat rasmi .MIL perlu ditapis terlebih dahulu sebelum ia dihantar keluar.
 

0/komen