Samsung Galaxy Z Fold5 Dilancarkan


Samsung Galaxy Z Fold5 telah dilancarkan. Samsung melakukan perubahan terbesar pada rekaan peranti skrin boleh-lipat ini bagi membolehkan ia ditutup lebih rapat. Rongga kecil yang wujud sejak generasi pertama tidak lagi wujud selepas Samsung turut menggunakan sistem lipatan titisan air.



Peranti masih lagi mengekalkan skrin luar 6.2″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz dan skrin dalaman 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz seperti model tahun lalu. Skrin dalam menyokong S Pen for Fold untuk lakaran terus pada skrin. Tidak seperti ura-ura yang didengari sebelum ini, skrin luar tidak lebih lebar berbanding Z Fold4. Alur lipatan pada skrin dalaman juga masih boleh dilihat.


Ini dipadankan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy, memori 12GB LPDDR5X, storan sehingga 1TB UFS 4.0 dan bateri sebesar 4400 mAh dengan pengecasan 25W secara berwayar serta 15W secara nirwayar.



Kamera belakang juga masih sama sudut lebar 50MP OIS, ultra sudut lebar 12MP dan telefoto 10MP dengan zum optikal 3X. Kamera swafoto luaran masih lagi 10MP dan swafoto dalaman pula juga 4MP di bawah skrin. Pendek kata dari segi perbezaan hanya cip, memori, storan dan rekaan engsel sahaja diubah tahun ini.


Ia masih melepasi piawaian IPX8 yang membolehkan ia dicelup di dalam air dan menerima sokongan audio Dolby Atmos. Pengimbas cap jari juga terletak pada sisi terbina pada butang kuasa. Sistem operasi yang digunakan ialah One UI 5.1.1 berasaskan Android 13. Kaca Gorilla Glass Victus 2 yang tahan hentakan digunakan pada panel depan serta belakang

Beberapa aksesori baharu turut diperkenalkan dalam bentuk kerana dan S Pen. Kerangka dengan S Pen terbina baharu misalnya hadir dengan S Pen yang 48% lebih nipis. Dengan ini isu bonggol pada kerangka belakang tidak lagi menjadi isu. Sebuah S Pen Pro baharu juga bakal dilancarkan menjelang penghujung 2023 dengan kejituan meta pena dan pengesanan sudut lebih baik berbanding S Pen for Fold biasa.


Di Malaysia harga jualan Samsung Galaxy Z Fold5 adalah seperti di bawah bermula 18 Ogos 2023. Warna yang ditawarkan ialah Icy Blue, Cream dan Phantom Black. Bagi mereka yang ingin membeli warna eksklusif Gray dan Blue ia boleh dibeli hanya menerusi kedai atas talian Samsung Malaysia.

Samsung Galaxy Z Fold5 (256GB) – RM 6,799
Samsung Galaxy Z Fold5 (512GB) – RM 7,299
Samsung Galaxy Z Fold5 (1TB) – RM 8,299

0/komen