Ginjal Khinzir Beroperasi Normal Sebulan Selepas Dipindahkan


Ginjal khinzir dalam tubuh manusia

Pemindahan organ rentas spesis (xenotransplan) ialah antara penyelesaian kepada isu kekurangan organ. Khinzir menjadi haiwan pilihan kerana ia mempunyai banyak persamaan dengan organ manusia serta boleh diternak pantas sebelum organ “dituai” untuk kegunaan manusia. Terkini penyelidik dari NYU Langone Health mengumumkan kejayaan ginjal khinzir bertahan selama 32 hari selepas dipindahkan ke dalam tubuh manusia.

Ini memecahkan rekod 74 jam yang dicatatkan sebelum ini. Penyelidik kini meneruskan kajian untuk melihat sama ada ginjal ini akan dapat bertahan sehingga dua bulan. Ini membuka kebarangkalian prosedur xenotransplan menggunakan organ khinzir akan menjadi realiti dalam masa terdekat.

Ginjal khinzir dipindahkan ke dalam tubuh Maurice “Mo” Miller pada 14 Julai lalu. Miller diisytiharkan mati otak oleh doktor di hospital yang hidup dengan bantuan mesin sokongan hayat. Tubuh beliau didermakan untuk tujuan sains oleh ahli keluarga.

Dr. Robert Montgomery yang merupakan pengarah NYU Langone Health berkata ginjal khinzir berfungsi dengan normal setakat ini tanpa ia berlaku penolakan oleh tubuh penerima. Malahan menurut Dr Montgomery ia berfungsi lebih baik berbanding ginjal manusia setakat ini.



 
Jantung khinzir dalam tubuh manusia

Bagi membolehkan ginjal khinzir ini dipindahkan ke dalam manusia, ia telahpun menjalani proses perubahan genetik terlebih dahulu untuk meningkatkan keserasian. Sebelum ini NYU Langone Health turut berjaya memindahkan jantung khinzir ke dalam tubuh manusia dengan kematian otak tetapi ia bertahan selama 72 jam sahaja. Rekod dunia untuk manusia hidup yang menerima organ khinzir dipegang oleh David Bennett yang hidup selema dua bulan sebelum meninggal dunia akibat virus haiwan.

0/komen