Robot Ancam Kerjaya Pencuci Tandas


Jutaan manusia akan kehilangan kerja disebabkan oleh robot dan kecerdasan buatan. Ini tidak lagi dapat dihalang kerana kos menggantikan manusia dengan automaton dilihat sebagai lebih menjimatkan kos. Firma Somatic misalnya menawarkan robot pencuci tandas mereka pada harga bermula $1000 sebulan yang adalah lebih murah berbanding pekerja manusia.

Robot Somatic boleh membersihkan tandas jenis mangkuk, dan berdiri. Selain itu ia boleh membersihkan kawasan tempat duduk dan bahagian bawah sebelum mengeringkannya untuk pengguna seterusnya. Selepas itu kawasan lantai kubikel tandas juga boleh dibersihkan. Ia juga diprogramkan dengan kemampuan membuka pintu tandas.

Kesemua ini dilakukan dengan robot dilatih terlebih dahulu dengan ruang lantai tandas dalam realiti maya. Di dunia sebenar sistem LiDAR akan memastikan robot boleh melihat persekitarannya dengan lebih jelas secara tiga dimensi.

Sekiranya robot menemukan tandas yang terlalu kotor untuk dibersihkan olehnya, ia akan mengambil gambar untuk pengurus yang kemudiannya menghantar pencuci tandas manusia yang boleh melakukannya. Pendek kata di masa hadapan manusia hanya akan diperlukan untuk tugasan yang lebih rumit sahaja.

0/komen