Tanpa Kepala


Samat memandu kereta lewat malam. Hatinya diserbu ketakutan. Dia kerap mendengar kisah seram di laluan itu. Ramai pemandu telah mengalami kemalangan kerana diganggu penampakan seram. Samat berfikir andai dia melalui jalan lain, lambat pula tiba ke destinasi. Hendak tidak hendak dia terpaksa menempuh malam yang suram di laluan lama itu.

"Orang cakap, kat selekoh tajam sana banyak berlaku eksiden. Situ ramai orang nampak hantu orang tak berkepala berdiri di tepi jalan... macamana ni? Seram ni!" Gumam Samat seorang diri. 

Hujan yang turun renyai-renyai menambahkan lagi kedinginan malam itu. Setibanya di selekoh tajam itu, Samat terbeliak matanya apabila terlihat sebuah kereta seperti kereta Wolkswagon tersadai dengan lampu kecemasan dinyalakan. Hati Samat berbolak-balik antara ingin berhenti atau teruskan sahaja.

Akhirnya Samat memilih untuk meneruskan perjalanannya. Namun dia sempat menoleh ke arah kereta yang kelihatan sudah usang itu. Bola matanya langsung tak dapat melihat kelibat pemandunya. 

"Kereta ada... pemandunya mana?" Gumam Samat.
"Mungkin pemandunya sudah..."

Belum sempat Samat menghabiskan kata-katanya. Mata Samat terbeliak lagi. Di hadapannya, di tubir jalan terlihat seorang lelaki tua berpakaian lusuh, basah kuyup dan wajahnya kaku melambai tangan ke arah kereta Samat.

"Nak berhenti ke tak? Mungkin pakcik tu perlukan bantuan..." sekali lagi Samat bercakap sendirian. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk memberhentikan keretanya.

"Pakcik nak ke mana?" Soal Samat setelah cermin keretanya diturunkan sedikit.
Lelaki tua itu diam. Lambat-lambat dia mengangkat tangan dan menghala ke arah laluan yang sama Samat akan lalui.

"Oh, jalan kita sama. Kalau macam itu masuklah naik kereta dengan saya. Hujan ni." Pelawa Samat.

Lelaki tua itu tidak banyak bercakap. Pintu kereta yang telah dibuka Samat dari dalam memudahkan lelaki itu melangkah masuk ke dalam perut kereta.
"Pakcik... kereta pakcik ke yang tersadai kat selekoh tadi?"

Kerana lelaki tua itu terlalu mendiamkan diri, Samat cuba untuk berbual. Namun soalan Samat tidak terjawab. Hanya anggukkan kepala lelaki tua itu sahaja yang kelihatan. Dia seperti tidak mahu memandang Samat.

"Pakcik asal sini ke? Saya selalu dengar kawasan ini keras. Betul ke?" Soal Samat lagi.

Lelaki tua itu menoleh memandang Samat. Pandangan matanya tajam menikam. 
Wajahnya tegang. Samat hanya tersenyum. Akhirnya pertanyaan Samat menarik perhatian lelaki itu.

"Siapa kata keras?!" Kasar sekali suara lelaki itu.
"Tak adalah, orang yang biasa lalu kat sini selalu cakap berjumpa dengan lelaki yang tak ada kepala. Ramai orang yang dah terkena." Cerita Samat.
"Huh! Mengarut!" Gerutu lelaki tua itu.

"Tapi ramai yang dah kena." Bersungguh-sungguh Samat meyakinkan lelaki itu.

Lelaki itu diam. Dia seperti memandang ke hadapan tanpa mahu berkata apa. Seperti tidak mahu melayan cerita Samat.

"Pakcik tak pernah jumpa ke dengan hantu lelaki tak berkepala?" Soal Samat dengan berani.

Lelaki tua itu menoleh perlahan-lahan ke arah Samat. Dia merenung wajah Samat dengan reaksi yang sukar ditafsirkan. Samat hanya tenang membalas pandangan lelaki tua itu.

"Semuanya penakut! Tak ada hantu kat laluan ini. Semuanya sengaja nak buat orang takut nak lalu kat laluan ni. Kalau ada dah lama aku sergah hantu tu...! Hanya orang penakut macam kamu sahaja suka sangat percaya bukan-bukan!" 

Bebel lelaki tua itu.

"Tapi..." 

"Tapi apa? Aku selalu sangat lalu kat sini malam-malam. Aku tak pernah jumpa, kalau aku jumpa pun aku akan pukul hantu tu...!" Megah sekali ucapan lelaki tua misteri itu.

"Wah... berani pakcik."
"Ya... aku guru silat. Aku tak takut hantu."

Lelaki tua itu tidak mahu memandang ke arah Samat, dia memandang ke hadapan. Samat hanya diam. Dia seperti tidak berani nak meningkah kata-kata lelaki itu.

"Oi... lubang besar tu! Elak!" Lelaki tua itu menekankan sedikit suaranya.
Samat gagal mengelak lubang di tengah jalan lama itu. Tersengguk lelaki tua itu dan Samat kala kereta Samat melanggar lubang di tengah jalan itu. Bunyi seperti ada benda berat jatuh di atas riba lelaki tua itu. Membuatkan lelaki tua itu terperanjat besar.

"A...apa ni?" Lelaki tua itu terbeliak memandang benda di atas ribanya.
"Pakcik... saya tak nampak jalan. Tolong letakkan kembali kepala saya kat leher saya yang terputus ni..."

Kepala Samat yang tergeletak di atas peha lelaki itu berkata-kata. Lelaki tua itu berpaling ke sebelahnya. Susuk tubuh tanpa kepala sedang memegang stereng kereta dengan tenang.

"Pakcik... saya tak akan nampak jalanraya kalau kepala saya masih ada kat atas riba pakcik ni." 

Kepala Samat yang ada sisa darah di lehernya berkata-kata lagi.

"Arghhh...!!!" 

Lelaki tua itu menjerit semahu-mahunya.
 

0/komen