Apple telah secara rasminya memperkenalkan siri iPhone 15. Dua telefon pintar diperkenalkan dibawah siri iPhone 15, dan dua dibawah siri iPhone 15 Pro.
Dibawah siri iPhone 15, iPhone 15 dan iPhone 15 Plus diperkenalkan. Menjadi fokus utama pada pengenalan siri ini adalah penggunaan pengecas dan penyambung berasaskan USB-C – sekaligus menggantikan penggunaan Lightning untuk sekian lama.
Ini sekaligus menyeragamkan penggunaan pengecas antara iPhone, iPad dan juga MacBook.
Kesemua model iPhone juga kini hadir dengan Dynamic Island – iaitu ruangan dibahagian skrin hadapan berbentuk “pil”, dan disesuaikan bersama penggunaan animasi padanya dalam bentuk notifikasi serta kaedah paparan kandungan lain.
iPhone 15 dan iPhone 15 Plus hadir dengan cip Apple A16 seperti terdapat pada model iPhone 14 tahun lepas. Dari segi rekaan juga, ia tidak begitu jauh berbeza dengan model tahun lepas. Seperti biasa, kedua-dua model ini turut menawarkan sokongan 5G bersama dengannya.
iPhone 15 hadir dengan skrin 6.1-inci, sementara iPhone 15 Plus pula hadir dengan skrin 6.7-inci. Kedua-duanya turut menyertakan dwi-kamera belakang dengan sensor utama adalah 48-megapixel. Apple turut menjanjikan penggunaan bateri sepanjang hari bersama-sama kedua-dua model ini.
Di Malaysia, siri iPhone 15 akan dijual bermula 29 September ini. Model iPhone 15 akan dijual pada harga bermula RM4399, sementara iPhone 15 Plus pula akan dijual pada harga bermula RM4899.
Catat Ulasan