Amran, Kamil dan Sabir tekun melakukan penelitian dan kajian tentang Relau dan tuyere yang berusia ribuan tahun, yang dikatakan telah lama wujud semasa zaman Kedah Tua lagi.. Hari ini adalah hari kedua mereka bertiga berada di Baling, Kedah. Setelah seharian mereka bertiga menjalankan tugas, mereka bertiga pun pulang ke rumah penginapan yang telah disediakan untuk mereka bertiga, berdekatan dengan lebuh raya..
Pada hari pertama mereka bertiga sampai di rumah penginapan yang telah disediakan, pemilik rumah penginapan tersebut telah berpesan kepada mereka bertiga, Katanya
“Hangpa Kalau nak keluaq makan malam, nanti dah sampai dekat jalan raya, hangpa belok kanan tau. Hangpa jangan makan dekat kedai sebelah kiri pulak.” Begitu pesannya.
Awalnya, mereka bertiga menyangka tujuan pemilik rumah penginapan itu memberitahu supaya mereka bertiga tidak tersesat jika keluar makan nanti. Apabila malam menjelma, perut sudah berkeroncong, mereka bertiga pun keluar dari rumah penginapan untuk mencari makan malam. Ketika mereka berada di tepi jalan raya, mereka menoleh ke kiri dan kanan lalu terpandang akan sebuah kedai makan yang tidak jauh di sebelah kiri mereka.
Kerana terlalu lapar, mereka bertiga pun terus berjalan ke arah kedai makan itu. Mereka lupa tentang pesanan pemilik rumah penginapan masa hari pertama mereka sampai.
Kedai makan itu kosong, tiada pelanggan. Tapi, mereka bertiga tidak merasa aneh. Maklumlah, kedai makan kampung di tepi lebuh raya pula, bukan setiap masa ada pelanggan. Lagi bagus tak ada orang, bolehlah pesanan makanan mereka bertiga cepat sampai.
Mereka bertiga duduk dan memesan makanan. Memang tiada apa yang aneh pun. Kedai makan itu biasa-biasa saja. Tidaklah begitu besar, sekadar cukup memuatkan beberapa buah meja untuk pelanggan duduk. Pekerja yang mengambil pesanan mereka bertiga juga nampak biasa saja, tiada yang pelik. Cuma tak banyak bercakap saja.
Setelah mereka bertiga selesaimakan dan perut pun kenyang, mereka membayar bil dan berjalan pulang semula ke rumah penginapan mereka. Malam itu mereka semua tidur lena.
Keesokan paginya setelah bersiap, mereka bertiga pun keluar untuk menyambung tugas di tapak kajian. Sampai di hadapan jalan utama, mereka bertiga merasa hairan apabila kawasan di sebelah kiri mereka kosong. Kawasan tersebut hanya dipenuhi oleh belukar dan semak samun sahaja. Mana pergi kedai makan tempat mereka bertiga makan semalam?
Mereka mula bertanya sesama sendiri dengan rasa hairan. Mereka yakin dan pasti di situ mereka bertiga makan malam tadi.
Tapi kini kawasan itu kosong, tiada tanda-tanda pernah ada sebarang binaan sebelumnya. Yang ada hanyalah semak belukar. Takkanlah dalam masa satu malam, pemilik kedai makan sudah membuka papan, tiang dan bumbungnya.?
Tak masuk akal langsung. Kalau kedai makan itu dirobohkan sekalipun, pasti ada kesannya. Ini tidak, kawasan itu bersemak belukar, bagai tiada sebarang binaan pernah wujud di situ.
Ketika mereka bertiga bertemu semula dengan pemilik rumah penginapan yang berpesan kepada mereka sebelum itu, mereka pun bertanyakan tentang kedai makan tersebut.
“Kan pakcik dah pesan kat hangpa sebelum ni, hangpa jangan pi kedai makan hat belah kiri . Kenapa hangpa tak ikut pesan pakcik,”
Ujar pemilik rumah penginapan tersebut.
Akhirnya baru mereka bertiga tahu kenapa. Dikatakan sebelum ini sudah beberapa kali berlaku kepada orang luar yang lalu di kawasan tersebut pada waktu malam, mereka akan nampak sebuah kedai makan dan mereka singgah makan di situ. Hakikatnya, penduduk setempat tahu tidak pernah wujud pun kedai makan di tepi lebuh raya itu.
“Yang peliknya, selalu yang kena adalah orang luaq yang lalu di situ pada waktu malam. Depa nampak kedai makan tu, depa berhenti makan. Esok siang bila depa lalu semula, tak ada pun kedai makan tu. Penduduk sini jarang kena. Sebab tu kalau ada orang luaq mai bermalam kat sini, kadang-kadang kami pesan jangan berhenti kalau nampak kedai makan dekat tepi jalan tu. " Ujar pemilik rumah tumpangan.
“Kalau nak berhenti makan sekalipun, tunggu betul-betul hingga sampai ke kawasan pekan atau kampung,” Ujar beliau lagi.
Amran, Kamil dan Sabir hanya menggangguk perlahan tanda mereka bertiga faham apa yang disampaikan oleh pemilik rumah tumpangan.
"Pakcik ada dengar tak apa yang terjadi pada mereka yang pernah makan dekat kedai tu?" Tanya Amran pada pemilik rumah tumpangan.
“Dulu memang pakcik ada dengaq kisah kedai makan misteri tu. Tapi tak ada pula yang muntah atau jatuh sakit lepas depa makan dekat situ. Pakcik pun tak pastilah apa yang depa makan sebenarnya". Jawab pemilik rumah tumpangan. Amran, Kamil dan Sabir mula mengerutkan dahi mereka.
“Dulu masa lebuh raya tu baru dibuka, kisah ni memang selalu pakcik dengaq. Tapi la ni dah jarang berlaku. Mungkin juga sebab sekarang sudah ramai yang lalu jalan lebuh raya tu kot.
Kawasan sekitar juga sudah banyak berubah dengan wujudnya binaan baru seperti kilang. Berbeza dengan dulu, jalan lebuh raya tu sunyi dan agak menyeramkan juga waktu malam,” Sambung pemilik rumah tumpangan itu lagi dengan panjang lebar.
"Mungkin juga kerana sekarang kawasan di sekitar lebuh raya sudah sibuk, maka kedai makan misteri itu hanya muncul sekali sekala sahaja. Atau pun mungkin juga ia sudah mendapat ‘lokasi’ baru yang lebih sunyi dan menyeramkan?" Monolog Amran..
Catat Ulasan