Samsung The Wall adalah antara televisyen mikro LED termahal kerana dijual pada harga RM1.23 juta di Malaysia. Televisyen ini bersaiz 146-inci dan menjalankan Tizen OS seperti kebanyakan televisyen mereka. Terbaru, LG MAGNIT telah diumumkan dan akan mula dijual bulan ini sebagai pesaing kepada The Wall.
LG MAGNIT juga adalah televisyen mikro LED, cuma saiznya lebih kecil iaitu 118-inci. Ia menyokong paparan 4K 3840 x 2160 piksel dan warna HDR10 Pro. MAGNIT dijana dengan cip É‘9 Intelligent Processor dengan sistem kecerdasan buatan tersendiri untuk memaparkan kandungan sukan, filem, permainan video dengan warna terbaik serta kecerahan yang memuaskan.
Seperti kebanyakan televisyen LG yang lain, MAGNIT turut menggunakan webOS yang dilengkapi YouTube, Netflix, Prime Video, Disney+ dan banyak lagi. Ia turut menyokong Miracast dan Apple AirPlay 2. Untuk audio sistem stereo 2x 50W digunakan dengan saluran 4.2. Sokongan HDMI 2.1 untuk konsol generasi baharu turut disediakan dan WiSA turut tersedia untuk sambungan produk audio spatial secara nirwayar.
Menurut LG, MAGNIT hadir dengan dua pilihan sama ada pasang ke dinding ataupun dengan kaki sendiri. Harga jualan adalah sekitar USD $237,000 (~RM 1.1 juta) sebuah.
Catat Ulasan