3,000 Kanak-Kanak Mangsa Bedilan Rejim Pengganas Zionis


Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour memaklumkan bahawa seramai 3,000 kanak-kanak terbunuh dalam serangan yang dilancarkan olehpengganas zionis  sejak 7 Oktober lalu.

“Saya ulangi, seramai 3,000 kanak-kanak yang tidak berdosa, dibunuh di Gaza dalam tempoh tiga minggu lalu,” kata Mansour dalam ucapan penuh emosi pada sesi tergempar Perhimpunan Agung PBB mengenai konflik Palestin-Israel.

“Tiada masa untuk berkabung, lebih banyak kematian sedang menanti,” Mansour kemudian memberi amaran.

Tambahnya, secara keseluruhan kira-kira 7,000 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan pengganas zionis ke atas Gaza, manakala apa yang lebih menyedihkan, 70 peratus daripada mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

“Inikah perang yang anda (Barat) pertahankan? Ini jenayah. Ini ternyata kebiadaban. Jika anda tidak menghentikannya (perang) demi semua mereka yang terbunuh, hentikannya untuk mereka yang nyawanya masih boleh kita selamatkan,” tegas Mansour.

Menurutnya, kira-kira 1,600 rakyat Palestin masih terperangkap di bawah runtuhan dan tidak pasti sama ada mereka terkorban atau cedera. Tiada tiada siapa dapat menyelamatkan mereka atau mengebumikan mayat mereka.

Kata Mansour, Rejim Pengganas  Zionis telah memusnahkan lebih 40 peratus daripada keseluruhan kediaman di Semenanjung Gaza, menyebabkan seluruh kejiranan musnah dan memaksa perpindahan 1.4 juta orang.

Pengganas zionis  juga didakwa berusaha mengusir mereka dari wilayah Palestin tersebut.

Mansour memetik kenyataan Menteri Luar Negara Haram Zionis, Eli Cohen dalam Majlis Keselamatan PBB yang menggesa pembebasan tebusan yang ditahan Hamas dengan berkata: “Bawa mereka pulang.

“Bagi pihak berjuta-juta rakyat Palestin pula, tiada rumah untuk mereka pulang. Bagi beribu-ribu mangsa, tiada lagi keluarga untuk dipeluk. Bukan atas tindakan Tuhan, tetapi disebabkan kelemahan kerajaan-kerajaan yang diwakili di sini.

“Tindakan membalas dendam sudah berakhir dan satu-satunya jalan ke arah penyelesaian konflik adalah keadilan,” tambahnya.

Dalam pada itu, pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah (EU) kelmarin menuntut ‘koridor kemanusiaan dan jeda’ dalam perang pengganas zionis  menentang Hamas. EU juga menggesa akses bantuan diwujudkan kepada orang awam di Gaza yang dikatakan PPB sebagai ‘tiada lagi tempat yang selamat’.

Hanya 74 treler membawa makanan, air dan ubat dibenarkan memasuki Gaza yang mempunyai populasi 2.4 juta orang itu sejak konflik bermula. Jumlah bantuan yang tiba digambarkan oleh sukarelawan-sukarelawan sebagai sangat tidak mencukupi.

Sebelum konflik, kira-kira 500 treler masuk ke Gaza setiap hari, kata PBB.Pengganas zionis telah memotong bekalan makanan, air dan bahan api ke Gaza dan menegaskan, tiada bahan api boleh diimport kerana ia boleh digunakan oleh Hamas.

Kehabisan bahan api memaksa 12 daripada 35 hospital di wilayah itu ditutup, manakala Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) telah mula ‘mengurangkan operasinya dengan ketara’.

“Tanpa bahan api, tidak akan ada tindak balas kemanusiaan, tiada bantuan sampai kepada orang yang memerlukan, tiada bekalan elektrik untuk hospital, tiada akses kepada air bersih, dan tiada ketersediaan roti,” kata Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini
 

0/komen