Fitbit Charge 6 telah dilancarkan secara rasmi dan dilengkapi beberapa penambahbaikan utama. Antaranya seperti sensor yang mampu menjejak kadar denyutan jantung mencapai 60% lebih tepat
Selain itu ia juga serasi digunakan bersama peralatan gim tertentu menggunakan bluetooth rujukan kadar degupan jantung masa nyata sepanjang senaman. Di samping menerima integrasi lebih baik dengan perkhidmatan Google seperti Maps, Wallet, YouTube dan sebagainya.
Sebahagian besar tubuh dilihat menyerupai generasi sebelum ini, dengan perbezaan ketara pada tambahan butang navigasi fizikal haptik kecil di sisi kiri. Skrin adalah sebesar 1.04-inci dengan sokongan Always-On Display terbina yang lebih memudahkan pengguna secara menyeluruh.
Turut diberikan adalah pelbagai sensor kesihatan dan kecergasan termasuk ECG dan EDA (Eletrodermal Activity) yang boleh digunakan untuk menyukat tahap stres tubuh pemakai. Ia turut ditambahbaik dengan kemampuan mengesan perubahan menerusi tahap peluh pada kulit yang sepatutnya amat membantu dalam bacaan tindak balas tekanan lebih kritikal.
Fitbit Charge 6 juga menyokong lebih 40 mod sukan terbina yang termasuk 20 pilihan baharu seperti HIIT, latihan kekuatan dan papan salji. Dalam masa sama menyokong GPS terbina yang membolehkan penjejak kesihatan ini berfungsi dan mengesan jarak dengan mudah tanpa memerlukan peranti tambahan.
Dengan langganan Fitbit Premium pula pengguna boleh mengakses pelbagai sesi senaman mengikut sasaran peribadi yang ditetapkan. Ini termasuklah yoga, meditasi dan sebagainya. Dalam masa sama pemakai turut boleh mengakses data tidur dan cara mengurangkan tekanan tambahan yang menjadi sebahagian daripada pakej.
Bateri yang disertakan pula mampu menawarkan tempoh operasi sehingga 7 hari dengan sekali caj. Di samping turut menyokong NFC yang amat berguna untuk proses pembayaran pantas. Fitbit Charge 6 dijual pada harga $159.95 (~RM749) dengan pilihan warna Black dan Silver untuk kerangka, sementara itu White dan Gold pula untuk tali.
Catat Ulasan