Manusia kini semakin cakna impak penggunaan bahan api terhadap alam sekitar. Suhu musim panas bumi tahun ini misalnya adalah tertinggi pernah dicatatkan sejak rekod mula diambil. Penggunaan kenderaan elektrik masih belum berjaya mendatangkan impak besar kerana kosnya yang melampau. Ini tidak menghalang Euro Airship untuk memperlihatkan rekaan Solar Airship One yang menurut mereka boleh mengelilingi bumi tanpa sebarang bahan api fosil.
Solar Airship One sepanjang 151 meter ini menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan ia dijana menerusi panel solar seluas 4,800 meter persegi dan sistem sel tenaga hidrogen. Ia boleh mengelilingi bumi dalam masa 20 hari dengan kelajuan maksimum sekitar 82 km/j.
Pada waktu siang kuasa solar digunakan sementara pada waktu malam hidrogen yang dihasilkan menerusi proses elektrolisis pula digunakan. Sekiranya semua berjalan lancar, Solar Airship One akan melakukan ujian penerbangan mengelilingi dunia tanpa perlu mengisi sebarang bahan api pada tahun 2026.
Catat Ulasan