Meta AI Diumumkan


Meta mengumumkan pengenalan sokongan pembantu maya berasaskan AI tersendiri, dinamakan Meta AI. Melaluinya, ia memberikan pengalaman berinteraksi dengan kecerdasan buatan (AI) terus pada aplikasi popular seperti WhatsApp, Messenger dan juga Instagram – sekaligus mendapatkan pelbagai maklumbalas tanpa perlu meninggalkan aplikasi berkenaan.


Meta menyatakan Meta AI berasaskan kepada model bahasa raya terbaharu mereka, Llama 2. Anda boleh menyeru Meta AI pada bila-bila masa, termasuk dalam permesejan berkumpulan dengan menaik “@MetaAI”. Anda seterusnya boleh bertanyakan pelbagai persoalan, dan pembantu maya berasaskan AI berkenaan akan memberikan jawapan berkaitan.

Meta turut bekerjasama dengan Bing dalam membolehkan Meta AI menawarkan informasi masa-nyata kepada pengguna.


Menariknya juga, melengkapkan pengenalan Meta AI ini adalah sejumlah 28 watak berbeza berasaskan pelbagai selebriti – termasuk seperti MrBeast, Snoop Dogg, dan sebagainya yang memberikan informasi kepada pengguna dengan watak dan gaya selebriti berkenaan melalui Meta AI.

Disamping itu, memandangkan ia turut dilatih berasaskan data di Facebook dan Instagram, maka pengguna turut boleh bertanyakan sesuatu persoalan melibatkan kandungan di platform berkenaan. 


Buat masa ini, Meta AI diperkenalkan dalam bentuk beta sahaja secara terhad, termasuk beberapa sokongan yang terhad di Amerika Syarikat. Ia tidak diketahui lagi bilakah pihak Meta akan menawarkan sokongan ini secara meluas pada peringkat global.

0/komen