Meta Quest 3 Dilancarkan


Set kepala Meta Quest 3 akhirnya dilancarkan secara rasmi di Amerika Syarikat selepas ia diperlihatkan pada bulan Jun lalu. Ia kini bukan sekadar sebuah set kepala realiti maya (VR) tetapi juga boleh digunakan dalam mod realiti gabungan (MR) secara berwarna.

Dari segi spesifikasi Quest 3 dilengkapi dua skrin LCD masing-masing dengan resolusi 2064 x 2208 pixel yang memberikan sudut penglihatan 100 darjah secara mendatar dan 96 darjah secara menegak. Ini adalah lebih baik berbanding Quest 2 dan Quest Pro.


Seperkara lagi yang lebih baik ialah penggunaan cip Snapdragon XR2 Gen 2, 8GB RAM dan storan sehingga 512GB. Tiada maklumat mengenai kapasiti bateri kecuali Quest 3 boleh beroperasi secara berterusan selama 90 minit. Dari segi berat pula ialah adalah sekitar 515 gram.



Sistem audio terbina pada set kepala ini menyokong audio 3D. Rekaan Quest 3 adalah lebih nipis tahun ini kerana menggunakan sistem lensa pancake. Jarak lensa dari mata boleh diubah oleh pemakai dengan menggerakkan sebuah butang beroda. Tidak seperti Vision Pro, mereka yang berkaca mata tidak perlu membeli penyesuai khas yang mahal yang memerlukan temu janji terlebih dahulu.


Dua alat kawalan jauh turut disertakan dengan setiap pembelian. Ia hadir dengan pad sesentuh tetapi tiada lagi gegelung untuk menjejak pergerakan. Akhir sekali Quest 3 direka untuk digunakan walaupun tanpa alat kawalan jauh kerana ia boleh mengesan gestur. Tap dua jari pada sisi set kapal misalnya boleh digunakan untuk pengguna keluar dan masuk daripada mod VR.

Sepasang Quest 3 dijual pada harga USD $500 (~RM2354) untuk storan 128GB dan meningkat ke USD $650 (~RM3060) untuk storan 512GB. Pratempahan telah dibuka.

0/komen