Snapdragon X Elite Dilancarkan


Cip Snapdragon X Elite telah dilancarkan secara rasmi. dan ia adalah cip khusus untuk PC berasaskan ARM yang bersaing secara terus dengan cip siri M Apple Silicon. Ia dilengkapi 12 teras CPU Qualcomm Oryon berkelajuan 3.8 GHz. Dua teras ini boleh dilewah jam sehingga 4.3 GHz apabila diperlukan untuk tugasan lebih berat.


X Elite dihasilkan menerusi teknologi 4nm dan CPU Oryon tadi dipadankan dengan GPU Adreno yang mempunyai mempunyai kuasa mencecah 4.6 TFLOP yang setanding dengan sebuah Xbox Series S.


Qualcomm memberikan tumpuan kepada kemampuan memproses kecerdasan buatan (AI) terus pada peranti menerusi X Elite. Oleh itu NPU Qualcomm Hexagon dengan kemampuan 45 TOP disertakan sekali dan boleh menjalankan AI LLM dengan 13 bilion parameter secara terus tanpa data perlu dihantar ke awanan terlebih dahulu.


CPU Oryon yang digunakan X Elite mempunyai prestasi satu teras lebih tinggi berbanding Apple M2 Max dan Intel Core i9-13980HX. Dari segi penggunaan kuasa ia mengurangkan penggunaan tenaga pada kuasa puncak sebanyak 30% berbanding M2 Max dan 70% berbanding Core i9-13980HX. Ini menurut Qualcomm menjadikannya cip komputer mudah alih paling berkuasa setakat ini.



X Elite mempunyai kemampuan sehingga 60% lebih baik dalam pemprosesan multi bebenang berbanding pesaing Intel Core i7-13800H. Prestasi GPU pula sehingga dua kali ganda pada penggunaan kuasa yang 74% lebih rendah berbanding Intel Core i7-13800H.


Sebagai cip untuk komputer riba, ia menyokong skrin 4K 120FPS dengan HDR10 atau sambungan sehingga dua monitor 5K 60FPS. Sistem USB-4 turut disokong bersama dengan memori LPDDR5X, storan UFS 4.0, bluetooth 5.4, WiFi 7, dan kamera 64MP. Menerusi modem Snapdragon X65, sambungan kepada rangkaian 5G Sub-6GHz dan mmWave turut boleh dilakukan secara terbina.


Komputer riba pertama menggunakan Snapdragon Elite akan dipasarkan pada pertengahan 2024. Lebih penting ialah CEO Qualcomm Cristiano Amon mengesahkan CPU Oryon akan mula digunakan pada cip mudah alih menggantikan CPU Kryo bermula 2024 yang pastinya akan memberikan peningkatan prestasi pada peranti Android akan datang.

0/komen