Edifier Hecate GX05 Kini Di Malaysia


Edifier Malaysia baru-baru ini telah melancarkan TWS gaming baharu mereka iaitu Edifier Hecate GX05 yang hadir dengan bentuk unik, menyokong RGB, sambungan sela masa rendah, menyokong pembatalan hingar dan dibina dengan bahan binaan premium.


Hecate GX05 menggunakan pemandu audio bersaiz 10mm yang menyokong codec SBC dan LDHC 5.0. Edifier memilih untuk menggunakan cip Bluetooth 5.3 untuk tambatan pantas serta turut menyokong sambungan WiFi 2.4Hz melalui dongel khas yang membenarkan sela masa rendah mencapai 15ms. Edifier mendakwa yang mereka ada menggunakan bahan binaan mengikut sifat titanium untuk menjamin audio yang lebih baik.

TWS ini menyokong pembatalan hingar hibrid dan dwi-mikrofon pembatalan hingar persekitaran. Setiap fon telinga mempunyai sensor inframerah yang membolehkan muzik dijeda apabila ia dikeluarkan dari telinga. Edifier Hecate GX05 juga mempunyai sokongan RGB pada setiap satu fon telinga dan pada pod pengecasan yang mana setiap lampu dan tetapan lain boleh dikawal melalui aplikasi Edifier Connect App.

Perlindungan IP54 turut diberikan agar TWS ini selamat daripada percikan air atau habuk dalam kocek. Ia boleh dicas menggunakan USB-C dan mempunyai ketahanan bateri mencapai 4.5 jam. Rekaan TWS ini memang aneh dan unik kerana menggunakan tema futuristik dan robotik dengan menjadikan pengalaman membuka dan menutup pod pengecas yang memuaskan.


Di Malaysia, Edifier Hecate GX05 dijual pada harga RM599. Ia kini sudah boleh dibeli di laman web rasmi Edifier Malaysia atau juga di Shopee bagi sesiapa yang inginkan produk audio yang ada kelainan.

0/komen