Terbongkar Rahsia Jahat Di Bilik Tetamu


Benar pesanan orang tua-tua, menolong orang biarlah berpada-pada.
Kisah yang dipaparkan ini boleh menjadi teladan kepada semua pembaca.

Seorang wanita yang hanya mahu dikenali Jijah, 38, memberitahu, dia serik selepas membantu rakan baik bersama ibunya ketika dalam kesusahan tiga tahun lalu.

Ia bermula apabila dua beranak itu dihalau daripada rumah sewa kerana hampir enam bulan tidak membayar sewa.Simpati dengan nasib rakan dan ibunya itu, Jijah dan suaminya membenarkan mereka menumpang seketika di rumah teres dua tingkat miliknya di Seri Kembangan, Selangor.

Kehidupan mula berubah.Jijah memberitahu, dia dan suaminya tidak mencampuri urusan dua beranak itu dalam rutin harian dan memberi kebebasan keluar masuk rumahnya.

"Saya dan suami sudah lama kenal mereka dan memang menganggap seperti keluarga sendiri. Apa yang terjadi ke atas mereka itu memang sedih dan saya bantu apa yang mampu.

"Apa yang pelik, mereka berdua tidak membenarkan saya masuk ke bilik tetamu yang disediakan kepada mereka untuk saya mengemas, malah mereka juga membeli makanan sendiri dan hanya berkurung dalam bilik.

"Pada hal saya setiap hari memasak dan menyediakan makanan untuk semua.

Kira-kira sebulan mereka tinggal di rumah kami, suatu hari ketika mereka berdua keluar untuk mengambil barang, saya cuba masuk bilik mereka untuk mengambil pakaian kotor dan di sinilah semuanya bermula.

Sebaik sahaja masuk bilik itu saya nampak bekas kecil berisi kemenyan dan anak patung dibalut dengan kain kuning. Terus bulu roma saya meremang, tambahan pula rasa seperti ada lembaga memerhatikan saya.

Jijah memberitahu sejak kehadiran mereka hubungan dia dan suami menjadi agak 'panas' dan ada sahaja pertengkaran berlaku walaupun perkara kecil.

"Saya memberitahu suami apa yang saya nampak dalam bilik tetamu itu, dan dia pada mulanya tidak percaya sehinggalah satu kejadian berlaku ketika sedang solat.

Suami mengalami kesakitan seakan-akan dipukul secara tiba-tiba. Namun ketika itu dia sedang solat Maghrib.Pelik dengan kejadian itu, kami terus memanggil ustaz dan mengadakan majlis doa selamat di rumah.

Rakan saya dan ibunya ketika itu terus keluar rumah tanpa sepatah kata. Saya cuba memanggil mereka tetapi tidak diendahkan.
Menurut ustaz rumah saya itu agak keras kerana ada sesuatu yang menumpang dan ada makhluk lain cuba memutuskan hubungan kami sekeluarga disebabkan cemburu.

Namun ustaz itu tidak memberitahu jelas angkara siapa, dan kami pula tidak berminat untuk tahu lebih lanjut. Menurut Jijah, beberapa bulan mereka sekeluarga tidak boleh hidup dengan tenang apabila banyak gangguan pelik di rumah mereka.

Saya dan suami mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah lain. Saya sewakan rumah itu kepada orang lain selepas melakukan pembersihan.

Tetapi sebelum kami keluar hanya Allah yang tahu betapa beratnya kaki untuk keluar dari rumah itu. Ada sahaja halangan yang menakutkan seperti pintu tak boleh buka, kunci rumah hilang dan beberapa perkara pelik lagi.

Lebih pelik, talian telefon juga tiba-tiba tak boleh digunakan.
Sepanjang malam kami membaca dan memasang ayat-ayat suci Al-Quran dan Alhamdullilah kami dapat keluar rumah itu dengan selamat," katanya.

Tak sangka kawan baik busuk hati.Tiga bulan selepas itu, Jijah memberitahu rakan baik cuba menghubungi dan meminta maaf kepadanya sekeluarga.

Saya memang tak mahu berjumpa dengannya kerana rasa tak sedap hati. Akhirnya rakan saya itu mengaku dia telah bomohkan kami sekeluarga kerana cemburu melihat kebahagian saya.

Niat baik Jijah membantu rakan akhirnya memakan diri dan keluarga.

Saya hanya mampu mengucap dan sedih kerana saya ikhlas menolongnya tanpa berharapkan apa-apa balasan. Tetapi sebaliknya berlaku.

Saya terus menangis dan memberitahunya jangan cari saya lagi.
Sejak hari itu sehingga hari ini memang saya tidak ambil tahu mengenainya dan tidak mahu tahu. Cukuplah dia membuat hidup kami dalam ketakutan.

Perbuatan menggunakan sihir adalah syirik dan berdosa besar serta dilaknat Allah. Hanya kepada Allah sahaja tempat untuk setiap manusia memohon bantuan dan perlindungan.
 

0/komen