Casio G-SHOCK G-D001 Pada Harga RM 1.87 Juta


Sempena ulang tahun G-SHOCK yang ke-40, Casio menghasilkan G-SHOCK G-D001 yang direka dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) dengan tubuh diperbuat daripada emas. Ia adalah sebuah inisiatif Dream Project #2 yang sebelum ini turut melancarkan sebuah jam tangan yang juga diperbuat daripada emas tetapi hanya 35 dihasilkan. G-SHOCK G-D001 telahpun dilelong  pada harga $400,050 (~RM 1.87 juta).


Hanya satu G-SHOCK G-D001 dihasilkan dengan menggunakan emas kuning 18K dan inilah sebab mengapa jam tangan edisi khas ini mencecah harga yang tinggi. Untuk menghasilkan rekaan akhir, kecerdasan buatan dilatih menggunakan data rekaan G-SHOCK selama empat puluh tahun.

Ia masih lagi tahan lasak boleh dibawa menyelam sehingga 200 meter, tahan hentakan, hadir dengan sistem pengecasan solar, sistem waktu automatik Multiband 6 dan sistem lampu Illuminator yang sinonim dengan peranti G-SHOCK.


Pembeli yang berjaya membida jam ini akan hanya menerima G-SHOCK G-D001 pada Q1 2024 kerana yang wujud sekarang masih sekadar sebuah prototaip. Ia akan hadir dalam kotak khas berwarna emas yang dilengkapi lampu bagi membolehkan ia dipamerkan oleh pembeli.
 

0/komen