Seorang gadis dari Bengaluru, India sanggup mengeluarkan wang sebanyak 816,851 rupee (RM46,386) untuk membayar seorang bomoh supaya menggunakan ilmu hitam bagi memenangi semula hati bekas teman lelakinya.
Mangsa mengetahui bomoh itu di internet pada 9 Disember tahun lalu dan menjelaskan situasi yang dihadapinya.
Bomoh itu kemudian meminta gambar bekas teman lelakinya dan keluarga mangsa beserta bayaran pertama.
Gadis itu juga membuat bayaran seterusnya tetapi menolak membuat bayaran terakhir.
Bomoh itu kemudian mengugut untuk mendedahkan gambar intim mangsa bersama bekas teman lelakinya kepada keluarga gadis berkenaan. Disebabkan ugutan yang diterima, mangsa sekali lagi membuat bayaran pada 10 Januari lalu.
Bagaimanapun, gadis itu tidak melihat hasil ilmu hitam tersebut dan selepas menyedari ditipu, dia memberitahu keluarganya.
Mereka kemudian membuat aduan polis, manakala siasatan yang dilakukan polis mendapati akaun bank berkenaan milik rakan rapat bomoh tersebut.
Rakan bomoh itu berjanji akan mengembalikan wang mangsa.
Bagaimanapun, polis mendedahkan bahawa nombor telefon bomoh tersebut telah ditamatkan dan sehingga kini, tiada bayaran balik yang dibuat.
Catat Ulasan