Hidup Dalam Gua Bawah Tanah


Sekumpulan gelandangan ditemui tinggal di dalam beberapa buah gua dekat Sungai Tuolumne di Modesto, negeri California.

Sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Operation 2-9-99 dan Tuolumne Rivers Trust bersama Jabatan Polis Modesto bekerjasama memindahkan mereka sebelum membersihkan kira-kira 3,447 kilogram sampah dari kawasan gua itu.

Mereka ditemui hujung minggu lalu.

“Kawasan ini dijadikan kem gelandangan yang menimbulkan kebimbangan kerana gua-gua itu berada di kawasan tebing sungai,” kata Jabatan Polis Modesto dalam satu kenyataan.

Gua-gua itu  digali pada kedalaman kira-kira 6.09 meter di bawah paras jalan raya. Antara barang yang ditemui di dalamnya termasuk peralatan tempat tidur, makanan, dadah dan senjata.

“Kami keliru bagaimana mereka boleh memindahkan sebegitu banyak barang di dalam memandangkan kesukaran untuk membawanya ke atas bukit,” kata penyelaras Operation 2-9-99, Charis Guptill.

Guptil adalah salah seorang sukarelawan yang mengambil bahagian dalam operasi tersebut. Pasukannya telah menemui lapan gua yang dihuni sejumlah gelandangan.

Seorang penduduk Modesto, Tracy Rojas berkata bahawa keputusan gelandangan untuk tinggal di dalam gua bawah tanah adalah berbahaya.

“JIka salah sebuah gua runtuh, ia akan mencetuskan bahaya. Semua orang dan barang akan ditengelami air,” katanya.

Krisis gelandangan semakin meningkat di negeri California. Bandar Los Angeles berhampiran Modesto baru-baru ini merekrut sehingga 6,000 sukarelawan untuk mengira gelandangan.

Penduduk California semakin kecewa apabila pihak berkuasa gagal menghalang populasi gelandangan daripada meningkat di negeri itu. 
 

0/komen