Mengenang Kembali Allahyarham Mahmood June


Beliau sangat dikenali dengan watak-watak antagonis seperti Panglima Merak Hitam (filem Noor Islam), Pateh Karma Wijaya (filem Hang Jebat), Awang Sulong (filem Sri Mersing), Megat Rambai (filem Jalak Lenteng), Wanusugoro (filem Raden Mas) dan Bija Sura (filem Dang Anom). 

Wajahnya bengis serta kelakuannya yang kasar di layar perak sentiasa menimbulkan rasa benci dan geram dikalangan penonton.  
Tetapi, beliau kemudiannya mengubah wataknya dari seorang ‘crook’ kepada seorang pelawak seperti dalam filem Do Re Mi dan Nasib Do Re Mi yang mana wataknya sebagai Pak Maon menjadi ikonik hingga ke hari ini. 

Itulah seniman Mahmood June. Lakonannya sentiasa berada di dalam kelas yang tersendiri. 


Selain daripada berlakon, beliau juga seorang guru silat dan sering menjadi koreografer persilatan untuk Cathay-Keris Film Productions (CKFP). 

Pihak CKFP telah melantik Pak Mahmood secara rasmi untuk mengajar pencak silat kepada para pelakonnya di Studio Cathay-Keris. Hal ini kerana CKFP telah mewajibkan setiap pelakon untuk mempelajari ilmu persilatan kerana mereka lebih banyak mengeluarkan filem-filem bercorak purbawara yang mengandungi elemen persilatan. 

Mahmood June atau nama sebenarnya Dato’ Mahmood bin Derani lahir pada 20 Januari 1921 di Alor Ganu (Kedah). 
Sebelum memasuki bidang perfileman, beliau berlakon di pentas bangsawan dengan menyertai kumpulan Grand Nooran Opera, Sri Nooran Opera, Rubis Opera, Royal Star Opera, United Opera, Oriental Opera, Grand Jubilee Opera dan M June Opera. 

Setelah melibatkan diri di dalam pentas bangsawan, beliau menyertai CKFP di Singapura dan filem pertamanya ialah Orang Lichin pada tahun 1958. 

Watak-watak zalim dan bengis yang dilakonkan oleh beliau sangat berkesan sehingga penonton-penonton filem Melayu pada ketika itu membencinya. Selain itu beliau turut diberi peluang berlakon dalam beberapa filem antaranya seperti Orang Minyak, Bawang Putih Bawang Merah dan Siti Zubaidah. 

Pada tahun 1962, beliau menyertai Merdeka Film Productions di Selangor. Sewaktu beliau berada di Studio Merdeka, beliau berpeluang berlakon di dalam beberapa filem antaranya ialah Si Tora Harimau Jadian, Ragam P Ramlee, Masam-Masam Manis, Sabarudin Tukang Kasut, Do Re Mi dan Nasib Do Re Mi. 

Namun, watak yang dipegangnya berubah sewaktu bersama Studio Merdeka itu. Beliau memegang watak-watak lucu. Antara lakonan beliau pada tahun 1970 hingga 1980-an ialah seperti filem Panglima Badol, Si Badol, Guru Badol, Da Di Du, Si Luncai, Penyamun Tarbus dan Bujang Lapok Kembali Dah. 

Bagi mengenang jasanya sebagai seniman sepanjang zaman, beliau telah dikurniakan dengan beberapa anugerah antaranya Ahli Mangku Negara (tahun 1986), Ahli Mahkota Kedah (tahun 1987), Anugerah Seniman Veteran di Anugerah Bintang Popular (tahun 1995) dan Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah pada tahun 2001. 
Seniman legenda Dato’ Mahmood bin Derani menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 14 Februari 2002 ketika berusia 81 tahun di Selayang (Selangor). 

0/komen