Mesin basuh dengan mesin pengering terbina sudah lama wujud. Begitu juga dengan ketuhar gelombang mikro dengan sistem ketuhar konvensional. Peralatan dapur dua-dalam-satu boleh menjimatkan penggunaan ruang di rumah yang mempunyai ruang lantai yang terhad. Midea telah mengumumkan WASHBOT yang merupakan mesin basuh yang juga menempatkan sebuah robot vakum.
Ia terdiri daripada sebuah mesin basuh dengan mesin pengering yang dibuka dari hadapan. Di bahagian bawahnya terdapat robot vakum yang juga boleh mengelap lantai rumah. Apabila usai melakukan kerja pembersihan, ia kembali ke dermaga di bawah mesin basuh dimana kebuk sampah dan air kotor dikosongkan secara automatik. Pemilik hanya perlu membersihkan ruangan sampah setiap 60 hari.
Kerana sistem kedua-dua mesin adalah terbina, WASHBOT hanya memerlukan satu sambungan kuasa elektrik dan bekalan air untuk beroperasi di rumah. Midea WASHBOT kini mengumpul dana menerusi laman biayasama Indiegogo tetapi harga belum diumumkan.
Catat Ulasan