Beberapa anggota penyelamat didakwa mencuri wang tunai berjumlah £1,000,000 (RM6.01 juta) daripada sebuah pesawat ambulans yang terhempas di kawasan pergunungan Afghanistan baru-baru ini.
Pesawat Falcon 10 itu membawa seorang wanita yang sakit tenat, Anna Evsyukova, 59, dari Thailand menuju ke Moscow sebelum terhempas pada 20 Januari lalu.
Anna dan suaminya, Anatoly Evsyukov yang merupakan seorang jutawan, melancong ke Thailand namun dia jatuh sakit tidak lama selepas tiba pada Disember 2023.
Pasangan suami isteri itu dilaporkan terbunuh dalam nahas tersebut, namun dua juruterbang dan dua pegawai perubatan yang menaiki pesawat itu disahkan terselamat.
Salah seorang pegawai perubatan, Igor Syvorotkin, 26 kemudian berjalan ke kampung berdekatan dan menggunakan bahasa isyarat untuk meminta bantuan.
Kumpulan penyelamat pertama yang tiba di lokasi nahas itu dikaitkan dengan Ketua Staf Angkatan Tentera Taliban, Qari Fasihuddin Fitrat.
Kehilangan wang tunai berjumlah £945,000 (RM5.69 juta) itu dilaporkan oleh akhbar harian Afghanistan, Hasht-e Subh.
“Sumber boleh dipercayai memberitahu bahawa susulan kecurian wang, gabenor wilayah Badakhshan, Mohammad Ayub Ayub Khalis melantik satu suruhanjaya untuk mengumpul bukti dan menyiasat kes itu atas arahan Timbalan Perdana Menteri, Mohammad Hasan Akhund,” demikian laporan tersebut.
Tidak jelas kepunyaan siapa wang tunai itu dan mengapa ia dibawa di dalam pesawat berkenaan.
Catat Ulasan