
Seekor anjing yang menggigit seorang pelajar perempuan di kawasan perumahan Taman Pekatra Indah, Simpang Ampat di sini dipercayai telah dipindahkan pemiliknya ke sebuah pusat perlindungan haiwan di Butterworth.
Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), satu pemeriksaan telah dijalankan di rumah pemilik anjing itu sejak kelmarin namun gagal menjumpai haiwan tersebut.
Ketika ini katanya, satu siasatan lanjut akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai lokasi sebenar keberadaan anjing
“Satu kompaun akan turut dikeluarkan kepada pemilik anjing itu kerana telah menyebabkan kacau ganggu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976."
“Berhubung kes gigitan anjing pula, perkara ini adalah di bawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan mangsa dinasihatkan untuk membuat rawatan dan pemeriksaan susulan di klinik atau hospital berhampiran.
“Untuk pengetahuan, kes ini juga akan disalurkan kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut di bawah Protokol Veterinar Malaysia,” katanya di sini.
Rakaman yang dibuat di kawasan Taman Pekatra Indah, Simpang Ampat di Seberang Perai Selatan (SPS) itu menunjukkan dua orang kanak-kanak perempuan berpakaian sekolah sedang berjalan kaki sebelum salah seorang daripada mereka diserang seekor anjing secara tiba-tiba.
Rakaman video yang sama juga menunjukkan seorang lelaki dipercayai pemilik anjing itu cuba meleraikan keadaan, namun tindakannya dipertikaikan pengguna media sosial kerana dilihat tidak begitu bersungguh-sungguh.
Catat Ulasan