Kerajaan Jepun Akhirnya Menghentikan Penggunaan Cakera Liut Dan Padat


Jepun ialah  sebuah negara yang dianggap canggih dari segi penggunaan teknologi. Ia menjadi sebab mengapa dasar pandang ke timur dimulakan oleh Tun Dr Mahathir kerana ingin Malaysia menggunakan teknologi terkini seperti Jepun dalam kehidupan harian.

Tetapi hakikatnya pada tahun 2023, Jepun ialah sebuah negara yang ketinggalan zaman kerana masih memerlukan pembayaran tunai, mesin faks dan dokumen diserahkan dalam medium simpanan fizikal untuk semua urusan rasmi kerajaan.

Selepas melangkah ke tahun 2024, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun akhirnya menghentikan keperluan orang ramai, syarikat dan organisasi menghantar dokumen dalam cakera liut serta cakera padat bagi bagi tujuan pemprosesan. Sebanyak 34 ordinan telah diubah bagi membenarkan penyerahan dokumen secara digital sahaja selepas ini. METI akan menjadi kementerian rintis memulakan era nir-storan fizikal di Jepun. Ia kemudiannya akan dikembangkan secara berperingkat ke kementerian lain.

Ini adalah kerana terdapat hampir 2000 ordinan dan protokol berurusan dengan kerajaan Jepun yang memerlukan storan fizikal dihantar. Ini tidak boleh diubah semalaman kerana ia adalah protokol yang telah digunakan sejak berdekad lamanya. Sudah menjadi kebiasaan sehingga menjadi sukar untuk diubah. Perubahan hanya dilakukan sejak tiga tahun kebelakangan ini kerana Sony menghentikan pengeluaran cakera liut dan storan 1.4MB adalah terlalu kecil untuk dokumen-dokumen moden.

Langkah mendigitalkan urusan kerajaan Jepun telah dimulakan oleh Menteri Digital Jepun, Taro Kono pada tahun 2022. Tokyo menjadi bandar pertama di Jepun yang menghentikan keperluan storan fizikal dalam urusan pada tahun 2021. Agak mengejutkan keperluan untuk berurusan dengan jabatan kerajaan menggunakan mesin faks juga hanya ditamatkan pada tahu 2021 tetapi menerima bantahan pelbagai agensi pada ketika itu.


0/komen