ASUS Zenfone 11 Ultra Dilancarkan


ASUS telah melancarkan peranti mercu baharu mereka iaitu ASUS Zenfone 11 Ultra. Dengan ketibaan peranti ini ramai mengeluarkan teori yang peranti mercu kompak “sudah mati” kerana rekabentuk kompak pada ASUS Zenfone 10 dan 9 yang sebelum ini tidak lagi diteruskan.


Zenfone 11 Ultra dilengkapi dengan skrin Dynamic AMOLED 6.78-inci, FHD+, 144Hz LTPO, dilindungi dengan Gorilla Glass Victus 2 dan mempunyai kecerahan sehingga 2500-nit. Peranti dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 yang dipadankan dengan memori sehingga 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman mencapai 512GB UFS 4.0.


Untuk konfigurasi kamera Zenfone 11 Ultra menggunakan sistem tri-kamera 50MP sudut lebar + 13MP sudut ultra lebar + 32MP telefoto 3x zum optikal dengan sistem OIS jenis gimbal 6-paksi serta HyperClarity dan 32MP untuk kamera swafoto. Bateri peranti adalah 5500mAh dengan pengecasan pantas 65W dan pengecasan nirwayar 15W. Peranti turut dilindungi dengan IP68. Zenfone 11 Ultra menjalankan Zen UI Android 14 dengan jaminan 2 tahun kemas kini Android dan 4 tahun kemas kini sekuriti.

Peranti ini turut mengekalkan port bicu audio 3.5mm dan menyokong speaker stereo yang ditala oleh Dirac. Rekaan peranti jika diteliti amat mirip dengan ASUS ROG Phone 8 kerana ia memang peranti yang sama. Beza utama adalah pada rekaan panel belakang, pilihan warna dan ciri AI pada Zen UI. Ciri AI yang ditawarkan adalah AI Bokeh, AI Transcript, AI Call Translation, AI Noice Cancellation, AI Wallpaper dan juga AI Semantic Search.


Peranti ini dilihat tidak ditawarkan di Malaysia dan hanya di negara seperti Amerika Syarikat atau Eropah sahaja. Harga jualan adalah €999 (~RM5,111) untuk 12/256 GB dan €1099 (~RM5,621) untuk 16/512 GB.

0/komen