Semua orang tahu yang negara kita pernah terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Kedua apabila dijajah Jepun sehingga tahun 1945. Tapi korang pernah dengar tak yang negara kita pernah terlibat dengan Perang Dunia Pertama?
28 Oktober 1914, detik berlakunya Pertempuran Pulau Pinang. Tak lama lepas bermulanya Perang Dunia Pertama, sebuah kapal Jerman bernama SMS Emden yang berpangkalan di Qingdao membuat keputusan untuk belayar sendirian di sekitar rantau Pasifik untuk memburu kapal-kapal pihak Bersekutu.
SMS Emden ni dah tenggelamkan 6 kapal pihak Bersekutu sepanjang perjalanannya. Kemudian SMS Emden buat keputusan untuk singgah di pelabuhan Pulau Pinang dalam penyamaran dengan tambah satu lagi cerobong asap menyerupai kapal British.
Jam 4.30 pagi, SMS Emden secara perlahan-lahan mendekati pelabuhan dan perasan ada kapal perang Russia bernama Zhemchug yang turut berlabuh.
SMS Emden pun bergerak ke kawasan yang lebih strategik dan kapten kapal iaitu Lt. Komander Karl von Müller beri arahan untuk lancarkan torpedo dan tembakan meriam ke arah kapal tersebut.
Torpedo tu berjaya musnahkan dek kapal dan tembakan meriam menyebabkan bahagian sebelah kapal berlubang.
Kapten SMS Emden arahkan satu lagi torpedo dilancarkan sehingga menyebabkan berlakunya letupan yang sangat besar.
Sebaik sahaja kapal Rusia itu hampir karam sepenuhnya, sekumpulan para nelayan Melayu tempatan berangkat menaiki bot-bot kecil untuk selamatkan para anak kapal Rusia.
Lebih 100 nyawa anak kapal Rusia berjaya diselamatkan oleh nelayan-nelayan Melayu. Serangan tersebut meragut sebanyak 88 nyawa, dan turut mencederakan seramai 121 anak kapal.
SMS Emden tinggalkan pelabuhan. Hanya beberapa jam saja setelah kapal Zhemchug tenggelam, sebuah kapal pemusnah Perancis bernama Mosquet yang baru kembali dari tugas rondaan menuju ke pelabuhan.
Mosquet cuba kejar SMS Emden. Malangnya, kapal Perancis tu pun karam dibedil kapal Jerman menyebabkan seramai 47 anak kapal Perancis terkorban dan 36 yang lain cedera.
Walaupun begitu, hayat SMS Emden pun tak lama. Beberapa minggu kemudian, SMS Emden diserang kapal musuh dan karam berdekatan dengan Pulau Cocos.
Hanya sepuluh sahaja daripada anak kapal Rusia yang terkorban yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Barat George Town, dan dua dikebumikan di Pulau Jerejak.
Di Pulau Pinang juga turut dibangunkan struktur monumen sebagai tugu bagi memperingati anak-anak kapal Zhemchug dan Mosquet yang terkorban.
Catat Ulasan