Hilang Kaki Angkara Hospital Cuai


“Saya masuk sebab apendiks tetapi sebab mereka cuai, kaki saya hilang,”

Itu kekecewaan jelas terpancar pada seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Isman Ibrahim, 41, yang menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas mendakwa menjadi mangsa kesilapan doktor bedah sebuah rangkaian hospital terkemuka di negara ini.

Kata Isman, insiden menyayat hati itu berlaku selepas dia menjalani pembedahan di hospital tersebut selepas pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati menghidap apendiks pada Jun 2019.

“Prosedur pembedahan itu tidak berjalan dengan baik apabila doktor yang membedah saya disyaki telah menebuk dan mengikat saluran darah utama sehingga menyebabkan kedua-dua kaki saya menjadi hitam atau gangrene."

“Hospital tersebut kemudiannya telah memindahkan ke sebuah hospital swasta lain. Hasilnya pemeriksaan lanjut kemudiannya menyebabkan kaki saya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawa,” katanya di Mahkamah Shah Alam semalam.

Menurut anak kelapan daripada 11 beradik itu, perkara tersebut diketahui apabila perbualan yang dirakamnya dengan salah seorang pakar bius yang terlibat dalam pembedahan tersebut memaklumkan 90 peratus kemungkinan disebabkan cuai tercucuk pada salur darah itu.

Ujar Isman, pemotongan kedua-dua kaki dibuat pada paras paha selain perlu menjalani pembedahan pintasan saluran darah kekal bagi memastikan bahagian kekal dua kakinya boleh bergerak.

“Semasa semua ini terjadi, isteri saya tengah mengandung anak keempat kami. Hati siapa tidak sedih apabila melihat diri sudah tidak seperti dulu."

“Selama 10 hari terpaksa sorokkan nasib menimpa saya daripada tiga anaknya yang lain sebelum mereka yang hadir di kemudiannya turut menangis melihat keadaan terbaru ayah mereka,” katanya.

Menurutnya, susulan kecuaian pakar bedah hospital berkenaan juga mengakibatnya mengalami sakit saraf yang amat sangat selama tiga jam selang dua hari.

“Tidur saya tidak lagi sempurna sejak lima tahun lalu. Setiap selang dua hari bermula pukul 2 pagi saya akan mengalami kesakitan. Bahagian alat kelamin saya juga terganggu dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ubat."

“Saya nekad bawa kes ini ke mahkamah untuk menunjukkan dan membongkar isu kecuaian pihak hospital. Saya pasti banyak kes didiamkan dan berharap mereka yang senasib tampil ke depan,” katanya.

Dalam pada itu, Peguam Firhat Muhd. Fikri mewakili Isman memaklumkan prosiding yang berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Hazizah Kassim semalami sepatutnya adalah bagi perbicaraan namun pihaknya akan memfailkan semula tuntutan saman seperti dipersetujui anak guamnya.

“Tuntutan saman awal kita adalah RM55 juta dan pemfailan semula bagi memastikan kebajikan anak guamnya terjamin. Ini termasuk dalam mendapat kos sebenar bagi kaki palsu daripada beberapa pengeluar."

“Kita mahu anak guam menjadi senormal yang boleh bagi dia menjalani kehidupannya. Pemfailan semula tuntutan akan dibuat dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

Pada prosiding tersebut, rangkaian hospital tersebut sebagai defendan diwakili Peguam T. Tharumarajah
 

0/komen