Komputer Riba Lenovo Legion Dikemaskini


Siri komputer riba gaming Lenovo Legion  memperlihatkan kemaskini dari segi penawaran spesifikasi komponen-komponen terbaru Intel dan juga NVIDIA, bersama-sama dengan pembaharuan dari segi penyejukan dan juga beberapa bahagian yang lain.


Diantara model-model komputer riba Lenovo Legion yang dilihat akan menerima kemaskini termasukklah Lenovo Legion Pro 5i, Lenovo Legion Pro 7i, Lenovo Legion 7i, Lenovo Legion 9i dan Lenovo Legion LOQ. Komputer-komputer riba ini akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-14 Raptor Lake Refresh sehingga Intel Core i9-14900HX dengan gabungan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000 sehinggalah NVIDIA GeForce RTX 4090.

Untuk sejumlah komputer riba Lenovo Legion ini, termasuklah Lenovo Legion Pro 5i, Legion Pro 7i, Lenovo Legion 5i, Legion 7i dan Lenovo Legion LOQ, ia hadir dengan paparan IPS PureSight dengan saiz yang berbeza dari 14 inci ke 15.6 inci dan resolusi 2560×1600, kadar segar semula sehingga 165Hz bergantung kepada model dan juga nilai kecerahan 500 nit dan sokongan untuk teknologi paparan NVIDIA G-SYNC dan DisplayHDR 400 untuk olahan warna yang cerah dan cantik.

Untuk komputer riba paling berkuasa dalam siri ini, iaitu Lenovo Legion 9i, ia memperlihatkan paparan skrin MiniLED PureSight bersaiz 16 inci dengan resolusi 3200×2000 dan kadar segar semula 165Hz dan nilai kecerahan 1200 nit dengan sokongan DisplayHDR 1000 dan NVIDIA G-SYNC.

Untuk menyejukkan komponen komputer-komputer riba ini, Lenovo turut memperkenalkan sistem penyejukan Legion ColdFront HyperChamber yang menggunakan teknologi hiperbarik yang menggabungkan sistem penyejukan kebuk wap dan juga kipas penyejukan untuk mengalirkan haba dari komponen ke bahagian belakang komputer riba untuk memastikan bahagian papan kekunci selesa digunakan sewaktu sesi gaming yang berpanjangan.


Penggunaan sistem penyejukan ColdFront HyperChamber ini juga mengurangkan kelantangan bunyi kipas penyejukan walaupun dengan prestasi perkomputeran yang sama apabila dibandingkan dengan model-model sebelum ini. Khusus untuk Lenovo Legion 9i juga ialah penutup paparan yang diperbuat daripada gentian karbon bertindih yang dinamakan Forged Carbon Fibre Cover.

Lenovo Malaysia mengesahkan bahawa mereka akan membawa masuk komputer-komputer riba gaming ini ke pasaran Malaysia tidak lama lagi dengan tanda harga tempatan akan diumumkan kelak.

0/komen