Pertama Kali Dilanda Ribut


Seorang nenek menempuh detik cemas apabila terpaksa berlari keluar dari rumah sambil mendukung cucunya ketika angin kencang menerbangkan bumbung rumah di Kampung Telok Wang Kechil dalam mukim Sungai Pasir, di sini petang kelmarin.

Menurut Hasma Dan, 65, kejadian berlaku ketika dia baru sahaja memandikan cucunya, Muhammad Naiz Husair Muhammad Ashraf Naim, 3.



“Sebelum ribut melanda, awan bertukar gelap dan disertai dengan angin kencang yang sekelip mata mengangkat bumbung dapur."

“Dalam keadaan kelam kabut, saya sambil mendukung cucu menjerit kepada ahli keluarga lain supaya keluar dari rumah,” katanya .
Menurutnya, ribut kemudian disusuli dengan hujan lebat menyebabkan barangan elektrik dan perabot basah.

“Saya bagaimanapun bersyukur kerana kami selamat dalam kejadian ribut yang kali pertama melanda kampung ini dalam tempoh 60 tahun."

“Malam ini(kelmarin) kami menumpang berteduh dan tidur di rumah saudara di kampung ini dan berharap kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, sekurang-kurangnya lapan buah rumah rumah di lima kampung di daerah Kuala Muda rosak dalam kejadian ribut.

Kejadian melibatkan masing-masing sebuah rumah di Kampung Berapit, Kampung Telok Wang Besar, Kampung Telok Wang Kechil dan Kampung Kuala Dahanan manakala di Kampung Seri Gading, Jeniang dekat sini melibatkan empat rumah.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, kesemua rumah tersebut mengalami kerosakan apabila bumbung rumah diterbangkan angin.

“Pemeriksaan pihak kita selepas kejadian mendapati kesemua penghuni di lapan rumah berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kita sentiasa bersiap siaga dan sedang mengemas kini pusat pemindahan sementara (PPS) di semua kawasan terlibat,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian sama sebanyak enam gerai menjual jagung yang terletak di kaki Gunung Jerai, dekat sini rosak dibadai ribut.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam daerah Yan, Leftenan (PA) Zul Izzi Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6 petang kelmarin.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati kesemua gerai yang terletak di tepi jalan persekutuan itu rosak teruk termasuk ada bumbungnya diterbangkan angin. Tiada laporan kecederaan diterima,” katanya.
 

0/komen