Robot Anjing Penyembur Api Dijual


Sebuah firma Amerika Syarikat (AS) mula memasarkan robot anjing didakwa pertama di dunia yang boleh menyemburkan api, digelar Thermonator.

Robot anjing keluaran Throwflame itu berupaya menyembur api sejauh 9.14 meter.

Ia mempunyai penglihatan laser untuk mengemudi persekitaran serta boleh dikawal dari jauh menggunakan Wi-Fi atau Bluetooth dengan jangka hayat bateri selama sejam. 

Throwflame yang berpangkalan di Ohio mengumumkan robot itu kini dijual pada harga AS$9,420 (RM44,989) dan tersedia untuk dijual kepada orang awam serta agensi kerajaan seperti tentera.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan menegaskan bahawa Thermonator bukan senjata seperti yang ditakrifkan oleh beberapa pihak, sebaliknya ia merupakan penyembur api.

Throwflame berkata, alat itu berguna untuk kawalan dan pencegahan kebakaran hutan, pengurusan pertanian, pemuliharaan ekologi, penyingkiran salji dan ais atau sekadar untuk hiburan.

Penyembur api adalah alat yang tidak dikawal secara persekutuan di AS dan tidak dianggap sebagai senjata api oleh Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (BATF).
 

0/komen