Rugi Hampir RM250,000 Ditipu Iklan Pembersihan


Pesara guru wanita berputih mata selepas kerugian hampir RM250,000 akibat penipuan perkhidmatan pembersihan rumah tidak wujud, pertengahan bulan ini.

Sebelum kejadian, mangsa berusia 59 tahun terpandang iklan melakukan kerja pembersihan di Facebook sebelum berminat untuk mendapatkan khidmat terbabit.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata mangsa kemudian berurusan seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp dengan menekan pautan diberikan suspek.

Beliau berkata, mangsa dikehendaki mengisi pautan diberikan yang mana ia sebagai prosedur untuk membolehkan permohonan diproses dan juga pembayaran kepada tukang cuci ditawarkan.

"Tanpa meragui tawaran diberikan suspek, mangsa diminta memasuki butiran peribadi dan maklumat perbankan namun wanita itu mendapati proses pembayaran gagal kerana pautan itu bermasalah."

"Tidak lama selepas itu, mangsa dihubungi pihak bank memaklumkan terdapat pemindahan wang berjumlah RM249,682 secara berperingkat tanpa disedari mangsa.

"Mangsa mula berasa tertipu lalu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 4 Akta Jenaya Komputer 1997.

"Kes seumpama ini bukanlah perkara baru namun masih ada mangsa terjebak dengan tawaran tanpa membuat usul periksa.

"Justeru, polis meminta kerjasama orang ramai tidak mudah terpedaya dengan tawaran diberikan sama ada melalui media sosial atau sebagainya." katanya.

 

0/komen