Telefon Pintar Biasa Kini Boleh Mengesan Tahap Glukosa dan PH


Mengesan tahap gula dalam darah tanpa jari dicucuk ialah teknologi yang dibangunkan oleh Apple dan Samsung dengan harapan ia boleh digunakan pada jam tangan pintar. Teknologi ini dipercayai semakin hampir menjadi realiti tetapi memerlukan sensor baharu dibangunkan. Sekumpulan saintis dari National Institute of Standards and Technology (NIST) di Amerika Syarikat telah berjaya mengesan tahap glukosa dan PH dengan menggunakan magnetometer telefon pintar biasa.

Setiap telefon pintar dilengkapi magnetometer yang digunakan oleh aplikasi kompas. Penyelidik mendapati magnetometer ini cukup sensitif untuk mengesan perubahan kecil pada medan magnet. Oleh itu mereka menghasilkan alat sukatan yang terdiri daripada dua lapisan hidrogel yang mengandungi partikel magnetik.

Hidrogel ini akan memberikan reaksi apabila mengesan kehadiran glukosa dan perubahan pada tahap PC cecair yang diletakkan ke atasnya. Perubahan partikel magnetik ini kemudiannya dikesan oleh magnetometer yang telah ditentukur untuk memberikan bacaan glukosa dan PH dengan ketepatan yang tinggi.

Penyelidik melihat alat ukuran rekaan mereka ini boleh digunakan untuk menyukat tahap glukosa dalam tubuh menggunakan air liur oleh pesakit diabetes. Ia juga boleh digunakan untuk menyukat tahap asid dalam air bagi tujuan mengesan pencemaran.

Alat ukuran ciptaan mereka ini masih lagi di peringkat ujian dan belum bersedia untuk ditawarkan kepada orang ramai. Ia walau bagaimanapun membuka peluang pengesanan gula dalam darah tanpa jari dicucuk dan juga alat sukatan pencemaran yang lebih murah berbanding mesin sedia ada. Penyelidik turut mendapati apabila mengesan tahap PH cecair, alat mereka mempunyai ketepatan yang sama seperti mesin yang berharga ribuan Dollar.

0/komen