Infinix GT 20 Pro akhirnya dilancarkan secara rasmi di Malaysia . Peranti ini merupakan kesinambungan untuk Infinix GT 10 Pro tahun lepas yang turut dipasarkan sebagai telefon permua mampu milik. Seterusnya diberi peningkatan menarik untuk pelbagai aspek termasuk reka bentuk dan perkakasan dalaman.
Peranti ini masih mengekalkan rekaan Cyber Mecha dengan pencahayaan RGB yang boleh disesuaikan. Ia menyokong sehingga lapan kombinasi jenis warna bersama empat pencahayaan (Breath/Meteor/Rhytm/Gradient) mengikut tetapan. Misalnya seperti panggilan masuk, pemberitahuan, pengecasan dan main baik audio. Sebanyak tiga pilihan warna boleh dipilih seperti Mecha Blue, Mecha Orange dan Mecha Silver.
Peranti ini juga menggunakan skrin AMOLED FHD+ 6.78-inci dengan kadar segar semula 144Hz. Ini digabung juga dengan cip MediaTek Dimensity 8200 Ultimate, memori 12GB RAM (LPDDR5X) dan storan dalaman 256GB (UFS 3.1) untuk tunjang utama. Tetapan kamera pula terdiri dengan 108MP OIS (utama) + 2MP (kedalaman) + 2MP (makro) di belakang yang kemudiannya diikuti kamera swafoto sebesar 32MP.
Bateri 5,000mAh yang disertakan boleh dicas melalui port USB-C dan pengecasan pantas 45W. Lain-lain spesifikasi termasuk pengimbas cap jari dalam skrin, pembesar suara stereo JBL, NFC, kalis air IP54 dan menjalankan XOS14 (berasaskan Android 14). Infinix turut menjanjikan kemaskini sistem selama dua tahun dan tampalan sekuriti tiga tahun pada peranti ini.
Infinix GT 20 Pro dijual di Malaysia pada RM1,299 dengan hadiah berupa GT Pro Gaming Kit (GT Mecha Case, GT Cooling Fan & GT Finger Sleeves) diberi percuma. Ketersediaan adalah melalui pengedar sah Infinix di seluruh Malaysia sama ada secara dalam atau luar talian.
Catat Ulasan