Realme GT Neo6 SE Kini Rasmi

Realme GT Neo6 SE telah dilancarkan di China  dengan ia menggunakan cip Snapdragon 7+ Gen 3 yang baru sahaja diumumkan baru-baru ini. Walaupun 7+ Gen 3 ialah cip dalam keluarga Snapdragon 7, teras CPU yang digunakan adalah sama dengan siri Snapdragon 8 Gen 3.


Tahun ini GT Neo6 SE hadir dengan skrin 6.78″ LTPO AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dan keterangan boleh mencecah 6000 nits. Cip di atas dipadankan dengan memori sehingga 16GB LPPDR5X, storan sehingga 512GB UFS 4.0 dan bateri 5500 mAh yang menyokong pengecasan 100W.

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP IMX882 dengan OIS dan lensa ultra sudut lebar 8MP. Di hadapan pula sensor 32MP digunakan untuk swafoto. Tubuh peranti melepasi piawaian kalis air IP65. Terdapat juga pengimbas cap jari bawah skrin dan juga sistem speaker stereo. Sistem operasi Realme UI 5 yang berasaskan Android 14 digunakan bersama beberapa ciri AI terbina.


Sebagai sebuah peranti gaming, GT Neo 6 SE hadir dengan kebuk penyejuk yang besar bagi memastikan isu panas tidak berlaku. Realme juga menyertakan mod untuk mengecil tingkap permua untuk seketika bagi membolehkan pemilik membaca dan menjawab mesej tanpa perlu meninggalkan sesi permainan. Ciri tambahan lain ialah kawalan gestur menggunakan kamera hadapan.

Harga jualan Realme GT Neo6 SE adalah seperti di bawah.

Realme GT Neo6 SE (8/256GB) – RMB 1799 (~RM 1186)
Realme GT Neo6 SE (12/256GB) – RMB 1999 (~RM 1318)
Realme GT Neo6 SE (16/256GB) – RMB 2199 (~RM 1449)
Realme GT Neo6 SE (16/512GB) – RMB 2499 (~RM1647)

0/komen