Seorang gadis cantik dari Bandung, wilayah Jawa Barat menjadi perhatian kerana mengusahakan ternakan lembu dan kambing meskipun belajar hingga ke peringkat sarjana.
Azhyra Rana Pinasthika, 23, turut menjalani kursus lanjutan di sebuah universiti di Jepun selain merupakan pemegang ijazah Pengurusan dan sarjana Pengurusan Perniagaan di universiti tempatan.
Menurut Azhyra, dia pernah bekerja di pejabat, namun tidak menyukai bidang pekerjaan itu.
“Saya kemudian cuba menceburi dunia bisnes dan ternyata saya amat menyukainya walaupun ada pasang surutnya,” kata Azhyra.
Tambahnya, dia banyak menerima komen negatif daripada netizen. Mereka menuduh dia menternak lembu kerana sukar mendapatkan pekerjaan.
“Mereka hairan kerana saya mempunyai ijazah sarjana tetapi pulang ke kampung dan menternak lembu."
“Ada yang menuduh susah mendapatkan pekerjaan,” ujarnya.
Jelas Azhyra, dia kini mengusahakan ternakan kambing yang dipromosikan menerusi laman sosial dengan menyasarkan pembeli generasi muda.
“Sekarang ini ramai generasi muda yang sudah bekerja tetapi tidak tahu cara melakukan ibadah korban."
“Saya menjelaskan semua proses tersebut menerusi perkongsian di media sosial dan mereka tertarik dengannya,” ujar Azhyra.
Tambahnya, tidak kira walau apa juga latar belakang pendidikan seseorang, makan gaji atau berniaga adalah pilihan masing-masing.
“Walau apa juga yang kita jual, jangan sesekali berasa malu kerana yang paling penting adalah kita amalkan semua ilmu yang kita dapat,” jelasnya.
Catat Ulasan