Mercedes-Benz Kini Menawarkan 4 Variasi


Mercedes Benz Malaysia telah melancarkan pelbagai variasi kereta elektrik untuk pasaran tempatan dan hari ini mereka telah melancarkan variasi terbaru untuk keluarga EQE bagi menambah 4 pilihan kepada pengguna tempatan iaitu EQE 350+ Sedan, EQE 350+ SUV dan juga versi AMG untuk kedua-duanya.


Mercedes EQE 350+ EA ini merupakan akronim kepada Electric Art, merupakan kereta elektrik dalam kelas Sedan, yang dilengkapi dengan motor elektrik yang boleh menghasilkan kuasa 292hp dan tork 565Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat dan mempunyai kelajuan maksimum 210 km/j. Ia mempunyai bateri berkapasiti 90.56 kWh dan memberikan jarak perjalanan sejauh 665-682km WLTP serta mempunyai pengecasan AC 22kW yang memberikan masa pengecasan AC 0-100% selama 4 jam 45 minit, dan pengecasan DC 170kW memberikan masa pengecasan DC 10-80% sepantas 32 minit. Model ini dijual pda harga RM 379,888.


Variasi AMG untuk Mercedes Benz EQE 350+ Sedan pula mempunyai spesifikasi teknikal yang hampir sama, dengan penambahbaikan dari segi bumbung panorama, suspensi udara AIRMATIC, kemasan hadapan yang lebih bergaya dan juga kebolehan untuk memusingkan gandar belakang sehingga 10 darjah. Versi AMG ini dijual pada harga RM 429,888.


Bagi Mercedes-Benz EQE 350+ SUV pula, ia turut mempunyai spesifikasi teknikal yang sama dengan versi Sedan, kecuali untuk jarak perjalanan. Memandangkan ia adalah SUV yang bersaiz lebih besar, SUV ini mempunyai jarak perjalanan sejauh 485-596km, meskipun baterinya bersaiz sama dengan versi sedan, iaitu 90.56 kWh. Untuk variasi EQE 350+ SUV AMG, ia dilengkapi dengan suspensi AIRMATIC, sistem pembesar suara Burmester 3D, bumbung panorama, dan juga rim 20-inci AMG. EQE 350+ SUV dijual pada harga RM 398,888 manakala versi AMG pula dijual pada harga RM 448,888.


Kesemua model EQE 350+ ini turut dilengkapi dengan fungsi terkini dari Mercedes-Benz antaranya Active Distance Assist DISTRONIC, sistem swaparkir PARKTRONIC, paparan antaramua MBUX dan pelbagai lagi. Dan kesemua model EQE kini dilengkapi dengan pengecas AC 22kW bagi mengurangkan masa pengecasan AC, dan hadir dengan jaminan bateri selama 10 tahun atau sehinga 250,000km. 

0/komen