Microsoft Surface Laptop dan Surface Pro Dilancarkan


Microsoft melancarkan Surface Laptop dan Surface Pro baharu masing-masing dilengkapi dengan cip Snapdragon X baharu. Kedua-duanya juga adalah komputer yang dilancarkan di bawah kategori baharu Copilot+ PC yang memberikan penekanan kepada kemampuan kecerdasan buatan (AI). Menarik di sini ia sebenarnya sama sahaja dengan kategori AI PC tetapi pada waktu ini hanya peranti dengan cip Intel sahaja boleh menggunakan “AI PC”.
Surface Pro edisi ke 11 ini hadir dengan skrin 13″ PixelSense Flow OLED dengan resolusi 2880 x 1920 pixel serta menyokong sentuhan. Ia hadir juga dengan pilihan cip Snapdragon X Plus atau Snapdragon X Elite, memori sehingga 32GB RAM LPDDR5x dan storan sehingga 1TB Gen 4 SSD. Bateri yang dibekalkan boleh bertahan sehingga 14 jam menurut Microsoft.


Di belakang terdapat kamera 10MP dan di hadapan pula terdapat kamera QHD yang menyokong sistem Windows Hello. Pelbagai kemampuan AI yang disokong pada kamera ini akan diproses menggunakan NPU terbina pada cip pemproses. Pilihan I/O hanyalah dua USB-C dengan sokongan USB4.

Turut diumumkan dengan Surface Pro ini ialah papan kekunci Surface Pro Flex Keyboard yang boleh beroperasi walaupun tidak disambung secara fizikal. Selain itu stylus Surface Slim Pen juga boleh digunakan untuk melakar terus pada permukaan skrin.

Surface Laptop edisi ke 7 pula hadir dengan skrin 13.8″ atau 15″ PixelSense Flow menyokong sentuhan. Ia hadir juga dengan pilihan cip Snapdragon X Plus atau Snapdragon X Elite. Pada model Surface Laptop 15″, hanya cip Snapdragon X Elite ditawarkan. Memori adalah ehingga 32GB RAM LPDDR5x dan storan sehingga 1TB Gen 4 SSD. Bateri yang dibekalkan boleh bertahan sehingga 22 jam menurut Microsoft.


Kamera hadapan FHD menyokong sistem Windows Hello serta pelbagai kemampuan AI yang diproses menggunakan NPU terbina pada cip pemproses. Pilihan I/O pula ialah 2x USB-C dengan sokongan USB4, 1x USB-A 3.1, bicu audio dan Surface Connect. Pada model 15″ terdapat tambahan slot kad MicroSDXC.

Harga jualan Microsoft Surface Pro bermula daripada USD $1000 (~RM 4684) dengan skrin LCD, Snapdragon X Plus, 16GB RAM dan storan 256GB. Sementara itu Microsoft Surface Laptop pula bermula daripada daripada USD $1000 (~RM 4684) dengan skrin 13.8″ LCD, Snapdragon X plus, 16GB RAM dan storan 256GB. Akhir sekali Flex Keyboard pula dijual pada harga USD$450 (~RM 2107).
 

0/komen