Wali Tumbuk Pengantin Lelaki


Seorang pengantin lelaki di Kota Ternate, wilayah Maluku Utara ditumbuk oleh abang iparnya sejurus selesai diijab kabul.

Pada mulanya, suasana majlis tersebut yang berjalan dengan normal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, selepas akad nikah selesai dilakukan, wali nikah yang merupakan abang kepada pengantin perempuan, bangun dan menumbuk adik iparnya yang sedang duduk di atas kerusi.


Suasana majlis kemudian bertukar kecoh kerana anggota keluarga lain datang menghampiri si abang untuk meleraikan pergaduhan yang berlaku antaranya dengan pengantin lelaki.

Lelaki tersebut, Muhammad Fahri Tarafannur mengaku berasa emosi dengan pengantin lelaki kerana pernah mengancam mahu membunuh keluarganya.  

“Dia mengancam mahu membunuh keluarga saya,” kata Muhammad Fahri.

Dakwaannya itu kemudian mendapat respons daripada ahli keluarga lain sehingga berlakunya perbuatan memaki hamun dan menyalahkan pengantin lelaki.

“Dia (pengantin lelaki) mengancam untuk membunuh satu keluarga,” kata seorang ahli keluarga pengantin perempuan.

Namun, pihak keluarga pengantin lelaki meluahkan rasa kesal dengan tindakan Muhammad Fahri.

Mereka mengaku berasa seperti tidak dihargai ketika datang dari jauh untuk menghadiri majlis tersebut.

0/komen