Duit Simpanan Lesap Selepas Sedar Daripada Koma


Seorang wanita di Britain yang tersedar daripada koma terkejut apabila mendapati wang sebanyak £5,700 (RM34,336) lesap dalam akaun simpanannya.

Abbey Carter, 29, dipindahkan ke Hospital Universiti Diraja Stoke apabila mengalami sawan, selepas menerima rawatan bahu di Hospital Haywood di Burslem.

Wanita dari Smallthorne itu menyedari bahawa barang peribadinya hilang termasuk dompet dan mendakwa lokasi terakhir telefon bimbitnya adalah di Birmingham. 

“Telefon itu adalah talian hayat kepada saya yang menghidap epilepsi. Saya telah menetapkan peringatan untuk beberapa perkara kerana saya boleh melupakan perkara dengan mudah apabila mengalami epilepsi,” ujarnya.

Abbey berkata, dia memiliki kira-kira £8,000 (RM48,191.28) di dalam akaun banknya yang disimpan sejak bertahun-tahun. 

Lebih mengejutkan adalah apabila pihak polis dan hospital terbabit didakwa enggan membantunya. 

“Hospital tidak menjaga barang peribadi dan polis berkata, tiada apa yang boleh mereka lakukan kerana ia berada di bawah tanggungjawab hospital." 

“Tiada apa juga tindakan yang boleh dilakukan oleh hospital, selain daripada menyuruh saya mengisi borang harta yang hilang,” tambah Abbey.
 

0/komen