Waris kepada pemilik sebuah rumah kosong di Semarang, wilayah Jawa Tengah membuat laporan polis ke atas tiga saluran YouTube dan dua akaun TikTok kerana menghasilkan kandungan seram di hartanah itu tanpa pengetahuan mereka.
Individu yang hanya dikenali sebagai AH berkata, kandungan laman sosial itu mendatangkan kerugian kepada mereka kerana rumah tersebut dalam proses untuk dijual.
Disebabkan kandungan-kandungan itu, hartanah tersebut tidak laku dijual malah, beberapa calon pembeli juga menarik diri.
“Lapan calon pembeli menarik diri disebabkan kandungan-kandungan seram mengenai rumah itu,” katanya.
Tambah AH, kediaman itu kosong sejak enam bulan lalu dan masih terdapat banyak barangan berharga di dalamnya."
“Namun, keadaan dalam rumah bersepah. Ada juga sisa barangan yang rosak dan pecah."
“Banyak barangan hilang seperti sembilan unit penyaman udara, perhiasan diperbuat daripada emas 28 gram dan televisyen. Kami tidak tahu siapa yang mencurinya,” jelasnya.
Kata AH, sepanduk yang bertulis ‘Untuk dijual’ di luar pagar rumah juga dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Penghasil kandungan masuk ke rumah itu melalui tingkap. Dalam video yang mereka rakam ada buktinya,” ujarnya.
Selain itu, AH meluahkan rasa kesal kerana dokumen-dokumen peribadi milik keluarganya dipaparkan dalam video yang disebar.
“Gambar-gambar bapa saya juga dipaparkan, perhiasan rumah turut ditayang. Mereka juga membuat cerita palsu yang mengatakan bahawa rumah itu sudah ditinggalkan 10 tahun dan milik orang kaya Arab,” jelasnya.
Sementara itu, ketua polis tempatan, Komisioner Polis Andika Dharma Sena mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu dan sedang menyiasat kes tersebut.
Catat Ulasan