Mat Rempit Kena Pukat Siang Siang Buta


 Puluhan penunggang motosikal terpaksa melakukan ‘senaman’ dengan menolak motosikal selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Kajang Utama 2, di sini kelmarin.

Menerusi video ini, sekumpulan penunggang motosikal dilihat menolak kenderaan mereka selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, menerusi operasi itu sebanyak 40 buah motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda diperiksa pada pukul 6 petang.

Hasil pemeriksaan, sejumlah 75 kertas saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Mereka yang diperiksa berusia 15 hingga 25 tahun dan kesalahan yang paling banyak dikesan adalah tiada lesen memandu.



“Ekoran tiada lesen memandu, sebanyak 40 buah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan,” katanya dalam kenyataan.

Selain tiada lesen memandu, mereka yang ditahan melakukan kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan ubah suai motosikal.

Orang ramai terutama ibu bapa diingatkan untuk memantau anak masing-masing agar tidak terpengaruh dengan gejala tidak sihat.

“Pengguna jalan raya diminta mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti lumba haram atau menjadi samseng jalanan,” katanya

0/komen