‘Mati’ Terjatuh Dari Tangga


Sebuah robot yang bekerja bersama Majlis Perbandaran Gumi di Korea Selatan menamatkan kewujudannya dengan terjun dari sebuah tangga.

Kejadian itu berlaku baru-baru ini. Robot tersebut  dilihat berpusing di satu tempat seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena sebelum jatuh pada ketinggian 2 meter dari atas sebuah tangga. 

“Sebilangan serpihan robot itu telah dikumpulkan dan akan dianalisis oleh pengilang,” kata seorang pegawai majlis perbandaran itu.

Robot keluaran syarikat dari California, Bear Robotics itu bertugas di bahagian pentadbiran majlis tersebut bermula Ogos tahun lalu. 

Ia mempunyai kad pekerjanya sendiri dan bekerja dari pukul 9 pagi hingga 4 petang (waktu tempatan). Antara tugas robot berkenaan termasuk mengangkut dan menghantar dokumen, memberikan bantuan kepada pelawat dan mempromosikan bandar Gumi.

Kemusnahan robot itu menyebabkan kakitangan lain berasa amat sedih. 

“Ia secara rasmi menjadi sebahagian daripada majlis perbandaran ini. Robot ini telah bekerja keras,” kata seorang pegawai tempatan.

Insiden itu digembar-gemburkan media tempatan sebagai robot pertama yang membunuh diri robot di Korea Selatan. 

Sebelum ini, sebuah robot keselamatan melemaskan dirinya di sebuah pancutan air di Washington. 
 

0/komen